Antivaksin: Jangan dabik dada tak kena penyakit

- Advertisement -

“ANAK saya tidak diberi vaksin, sihat saja malah bijak lagi. Saya lihat anak jiran saya selalu sakit demam dan anak-anak dia tidaklah cerdik sangat. Sedangkan mereka diberi vaksin semasa kecil. Kenapa?”

Jawapan:

Syukur anak-anak puan sihat dan bijak. Itu adalah anugerah Tuhan kepada insan. Syukur juga anak-anak jiran puan yang tidak didatangi penyakit-penyakit berjangkit yang berbahaya seperti batuk Kokol, Difteria, Polio, kancing gigi dan sebagainya. Kesihatan dan kebijaksanaan itu subjektif. Bergantung kepada kaedah penjagaan dan didikan masing-masing. Ianya tiada kaitan dengan pemberian vaksin. Ianya bukan dijadikan ukuran, malah betapa ramai anak-anak yang cemerlang dan sihat juga menerima vaksin semasa kecil. 

Penyakit-penyakit yang dicegah melalui vaksin ini hanya segelintir sahaja. Di dunia terdapat 26 vaksin ditemui untuk mencegah penyakit berbahaya ini. Penyakit-penyakit ini adalah sejenis penyakit yang fatal atau berbahaya, boleh membawa maut atau kecacatan kekal kepada penghidapnya. Malaysia telah mewajibkan 10 vaksin diberikan kepada bayi seawal baru lahir hingga 18 bulan. 2 jenis vaksin lagi adalah pilihan, manakala Vaksin Haji khusus untuk jamaah Haji. Terdapat lebih 216 jenis penyakit bawaan kuman yang lain lagi, mungkin dicegah dengan kaedah-kaedah lain seperti cara hidup sihat, pemakanan yang seimbang dan sebagainya. Tetapi kaedah ini adalah umum bukannya spesifik mencegah dari kuman-kuman yang bahaya. 

- Advertisement -

Kebarangkalian untuk dihinggapi kuman berbahaya ini amat tinggi ke atas anak-anak yang tidak diberi vaksin berbanding dengan anak-anak yang diberi vaksin. Ianya bergantung kepada kewujudan kuman di sesuatu lokaliti, kevirulan (potensi bahaya kuman) dan kejadian wabak yang memungkinkan berlaku. Apabila penyakit telah menghinggapi, mengubatnya amat menyulitkan. Mencegah lebih baik dari berubat. Mujur anak puan selamat dari anasir bahaya itu. Saya sebagai perawat pun mendoakan semua anak-anak sihat selamat dan cerdik tanpa mengira mereka itu diberi vaksin atau sebaliknya. Cuma, jika dijangkiti, kesian mereka yang menanggung derita. 

Terdapat segelintir ibu bapa yang membuat uji kaji atas anak mereka dengan sebahagian beri vaksin dan sebahagian tidak diberi. Saya yakin anak -anak mereka juga akan terlindung dengan syarat kawasan perumahan mereka itu tinggi liputan vaksinasi. Jika liputan rendah, risiko dijangkiti berkali ganda. 

Janganlah kita sombong dan mendabik dada anak kita selamat dari jangkitan sedangkan kita diberi ruang untuk berikhtiar. Bahkan pemberian vaksin itu sudah banyak dibicarakan dianjurkan dalam Islam itu sendiri. Kita risau jika saranan para pakar mahupun para agamawan di kalangan mufti pun mereka perlekehkan, firqah mana lagi yang mereka nak ikuti kecuali pandangan sendiri yang tidak berasas. 

Pengajaran dari seluruh dunia

Bila mana pemimpin dunia sudah mulai penat berhadapan dengan wabak penyakit yang muncul akibat pengaruh antivaksin, akhirnya inilah jalan terbaik pihak berkuasa lakukan:

(1) German. Ibu-bapa yang gagal mendapatkan nasihat vaksin boleh disertakan denda €2,500, £2,175 atau $2,800 dan anak-anak mereka dibuang dari pusat jagaan kanak-kanak. [1] 

(2) Italy mewajibkan 10 vaksinasi termasuk Diphtheria, Tetanus, Measles, Mumps, Rubella dan Chicken Pox. Ibu-bapa bakal didenda €500 atau $588 sekiranya gagal memvaksin anak tanpa alasan perubatan. [2]

(3) France mewajibkan 11 vaksin iaitu Diptheria, Tetanus, Polio Whooping cough, Measles, Mumps, Rubella, Hepatitis B, Influenza, Pneumonia dan Meningitis C. Mana-mana pelajar yang didapati sejarah vaksinasi tidak lengkap tidak dimasukkan ke dalam sekolah sepenuhnya dan diberi masa 3 bulan untuk melengkapkan vaksin. [3] 

(4) New York. Jabatan Kesihatan NY mendenda ibu-bapa yang tidak memvaksin $1,000 dan jumlah ini boleh bertambah sekiranya gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah. [4]

(5) Australia. Kanak-kanak yang tidak divaksin dilarang dari masuk kemudahan penjagaan kanak-kanak dan pengusaha yang membenarkan mereka masuk bakal didenda $5,500. [5]

(6) Australia juga mengenakan No Jab No Pay polisi di mana hanya ibu bapa yang memvaksin anak mereka dengan lengkap boleh menerima ‘Child Care Benefit’, ‘Child Care Rebate’ and the ‘Family Tax Benefit’. [6] [7] 

(7) Negara Brunei dengan tegas mewajibkan vaksinasi dan mengenakan hukuman di mana ia dapat dilihat dalam Undang-undang Brunei, Chapter 47 Quarantine and Prevention Disease. [8] 

Natijahnya, gerakan antivaksin bukanlah bersandarkan ilmu, sebaliknya kejahilan atas ilmu sains tersebut. Gerakan antivaksin bukan bersandarkan kemaslahatan masyarakat kerana bukan mereka yang berkorban masa dan tenaga merawat pesakit yang dijangkiti penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin. 

Gerakan antivaksin di Malaysia hanyalah ikut-ikutan ideologi dari Barat yang dihiasi jubah dan serban untuk mengelirukan masyarakat dalam masa yang sama, mengaut keuntungan lantaran kekeliruan dan ketakutan masyarakat awam yang tidak dapat membezakan fakta dan auta.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 30/11/2020

[1] https://www.bbc.com/news/world-europe-40056680
[2] https://www.wvlt.tv/content/news/Italy-approves-mandatory-vaccine-program-437515213.html
[3] https://www.thelocal.fr/20190906/which-vaccinations-are-compulsory-for-children-in-france
[4] https://www.washingtonpost.com/health/2019/04/18/parents-nyc-children-face-penalty-violating-measles-order/
[5] https://www.sbs.com.au/news/nsw-passes-childcare-vaccination-law
[6] https://www.ncirs.org.au/public/no-jab-no-play-no-jab-no-pay
[7] https://www.health.gov.au/sites/default/files/no-jab-no-pay-fsheet.pdf
[8] https://www.researchgate.net/profile/MOHD_ANUAR_RAMLI/publication/334030088_Autoriti_Kerajaan_Dalam_Mewajibkan_Vaksinasi_Kanak-kanak_Kajian_Menurut_Perspektif_Hukum_Islam_Authority_of_the_Government_to_Enforce_Child_Vaccination_A_Study_from_the_Islamic_Ruling_Perspective/links/5d13250ca6fdcc2462a6526a/Autoriti-Kerajaan-Dalam-Mewajibkan-Vaksinasi-Kanak-kanak-Kajian-Menurut-Perspektif-Hukum-Islam-Authority-of-the-Government-to-Enforce-Child-Vaccination-A-Study-from-the-Islamic-Ruling-Perspective.pdf

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -