‘Warkah fitnah’ terhadap MB Kedah akan gagal

SERANGAN kepada Menteri Besar (MB), bermula daripada isu balak, isu penempatan Rohingnya, isu bola, isu roboh kuil, isu bantuan PKPD, isu panggilan telefon, isu belpaya, isu KXP, isu Bajet 2021 Kedah, isu beli Honda Accord dan isu bantuan kepada kaum India. 

Semua serangan itu gagal, tak berjaya. Serangan itu semua matlamatnya hanya satu, memburukkan imej peribadi MB. Itu sahaja. Walaupun maklumat itu palsu, fitnah, dan menyeleweng, yang penting serang dulu. Bagi viral dulu. Cukup dengan hanya timbulkan persoalan, asalkan ia berjaya membentuk persepsi negatif dalam kepala orang ramai. Bab dosa pahala sudah tak ada dalam kepala. 

Depa jeles dengan kejayaan MB mentadbir kerajaan dengan baik. Pantas menyelesaikan masalah-masalah besar tinggalan orang dulu. Yang terbaru, tersebar satu ‘warkah fitnah’ kononnya MB menghina keluarga Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak. 

Advertisement

Warkah itu merujuk kepada pertemuan dengan MB yang berlaku di lobi Hotel Seri Pacific, KL. Secara tepatnya, pertemuan itu berlaku pada 4 Jun 2020, hari Khamis, 12 Syawal. Di dalam pertemuan itu, balu Almarhum Tan Sri Ust Azizan hadir bersama seorang anaknya serta seorang lagi lelaki lain. Selain MB, saya turut ada di situ menemani MB. 

Pertemuan itu hanya bincang 2 perkara. Pertama, nak minta Kerajaan Negeri Kedah beli sebuah hotel di Sg Petani. Kedua, nak maklum mengenai salah seorang ahli keluarga almarhum yang nak buat majlis kenduri pertunangan. 

Untuk perkara yang pertama, anak almarhum yang hadir pertemuan itu minta supaya Kerajaan Negeri Kedah beli sebuah hotel yang sudah tidak dapat beroperasi, di Sg Petani. Harganya RM7 juta. Banyak itu, bukan sikit. Semua dokumen-dokumen dan surat peguam ditunjuknya kepada MB. Berapa komisyen yang dijanjikan hotel kepadanya, tak tahu. Takkan suruh jual saja. Mesti ada komisyen jualan. 

MB jawab, kerajaan tak ada dana sebanyak itu untuk beli dan selamatkan hotel berkenaan. MB faham mengenai keadaan ekonomi yang makin mencabar. Tapi keutamaan kerajaan ialah untuk bantu rakyat yang lebih susah. 

Perbincangan mengenai nak jual hotel habis di situ. Tiada satu pun kata-kata kesat atau hina yang keluar dari mulut MB. Kemudian diberitahu pula kepada MB, bahawa salah seorang ahli keluarga mereka nak melangsungkan majlis pertunangan. 

Gaya balu almarhum bercerita kepada MB itu, seperti gaya seorang ibu bercakap kepada seorang anak. MB juga begitu, mendengar dengan penuh tumpuan, seperti seorang anak bercakap dengan ibu. 

MB duduk berhadapan, diselangi dengan meja kayu. Memang sofa tetamu yang ada di lobi hotel itu cukup untuk memuatkan 4 orang duduk berbincang. 

Bila MB dengar sahaja mengenai hajat untuk buat majlis pertunangan itu, dengan spontan MB respons, “Takpa, bagi tahu ja bila nak buat kenduri itu, saya tolong”. 

“Kalau nak guna Dewan Seri Mentaloon itu pun boleh”. Jawab MB. Mudah. Mukanya senyum, ceria. Gaya tangan dan memek wajah nampak bersungguh nak bantu mudahkan urusan ahli keluarga almarhum. 

Balu almarhum tersenyum ceria mendengar tawaran pertolongan MB itu. Ringan sedikit bebannya nanti. Memang sejak dulu lagi, MB banyak bantu memudahkan urusan keluarga almarhum. MB anggap almarhum tu seperti ayahnya. Masa itu MB adalah SETPOL almarhum. 

Masa almarhum sakit tenat di Hospital Pulau Pinang, MB dan pegawai-pegawai lain menyewa rumah berhampiran hospital. Berkampung di sana, dari mula almarhum masuk hospital, sampai cukup hukum. Setia menunggu menemani almarhum dan memudahkan urusan keluarga almarhum yang ada di hospital. 

Selesai pertemuan, balu dan anak almarhum minta untuk bergambar sebagai kenangan. Saya yang ada bersama menawarkan diri untuk tolong ‘snap’ gambar. Gambar itulah yang dimuatnaik bersama ‘warkah fitnah’ itu. 

Pada hari itu, jadual MB sebenarnya agak padat. Sejak dari malam sebelumnya hingga ke malam berikutnya, ada banyak pertemuan dan mesyuarat yang telah diatur. Tapi oleh kerana hubungan ‘kekeluargaan’ yang begitu lama terjalin antara MB dengan keluarga almarhum, MB tetap menerima dan melayani tetamu yang sangat besar maknanya kepada MB. 

Almarhum dan keluarganya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup MB. Boleh dikatakan semua hal keluarga almarhum, MB tahu. Anak yang kecil, anak yang besar, yang nak sambung mengaji bidang law, yang minta nak kahwin, yang kerja situ kerja sini, rumah pertama, rumah kedua, hampir semuanya ada dalam sejarah hidup MB. 

Begitulah kisah yang berlaku pada 4 Jun 2020 di lobi Hotel Seri Pacific. Tiada satu pun kata-kata penghinaan oleh MB seperti yang didakwa penulis ‘warkah fitnah’ itu. MB tidak pernah buat pengumuman bahawa dia adalah anak didik almarhum seperti yang didakwa di dalam ‘warkah fitnah’ itu. Yang kata begitu adalah orang lain. MB tak pernah kata. 

Almarhum Tan Sri Ust Azizan pernah jadi Pesuruhjaya PAS Kedah, orang nombor 1 dalam PAS di Kedah. Semua pimpinan dan ahli PAS Kedah duduk di bawahnya. Semua itu anak didik almarhum. Kalau masih tak puas hati juga, boleh tulis warkah kepada semua ahli PAS Kedah seorang satu. Alamat depa semua ada di Pejabat PAS Kedah. 

Sekian. 

AFNAN HAMIMI
Wisma Darul Aman – HARAKAHDAILY 29/11/2020