Presiden PAS mendidik ahlinya dengan al-Quran

- Advertisement -

PAGI tadi saya berpeluang berkongsi bedah buku Celupan Jarum Kecil Di Lautan Ilmu Al-Quran tulisan santai seorang yang pada saya adalah Murabbi dan Negarawan, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang merupakan Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah. YB Menteri Agama menulis kata pengantar di awal buku ini. Catatan santai yang mengandungi 5 bab dengan 6-8 tajuk kecil bagi setiap bab dan purata 2-3 muka surat setiap tajuk menjadikan ianya buku yang ringkas dan tidak menjemukan untuk dikhatam. 

Beliau menulisnya ketika dirawati di IJN selepas menjalani rawatan pembedahan injap. Mengisi kerinduannya kepada teman-teman dan rakyat ketika bersendirian di bilik IJN dengan mendengar alunan bacaan al-Quran. Seorang yang hidup di bawah naungan al-Quran, saban minggu selama lebih 40 tahun (bermula 1976) mengajar Tafsir Al-Quran di Masjid Rusila dan telah khatam sebanyak 2 kali. Bukan sahaja berenang di permukaan malah menyelam di dasar lautan al-Quran. 

- Advertisement -

Dia hidup dengan al-Quran. Ucapannya adalah syarahan al-Quran, tulisannya adalah berintisarikan al-Quran. Langkah politik dan kepimpinannya dipandu al-Quran. Dia mendidik ahli dan pengikutnya dengan al-Quran. Malah dia ingin agar rakyat di negara ini dipimpin dengan panduan al-Quran. Ya, barangkali tidak sedikit yang mencemuh dan membencinya… tapi itulah yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W saat menyampaikan al-Quran kepada manusia. Bukan semua berlapang dada untuk menerimanya.

Dijemput untuk membedah buku tulisannya ‘Celupan Jarum Kecil Di Lautan Ilmu Al-Quran’ ini adalah satu penghormatan bagi saya. Alangkah tawadhuknya Tuan Guru tergambar pada tajuk bukunya. 40 tahun mengajar tafsir saban minggu dan telah khatam sebanyak 2 kali itupun masih menganggap ilmunya hanya seperti secelup jarum kecil di lautan. Malah, walau telah berada di Putrajaya, hatinya masih terlalu dekat dengan laut dan pantai di kampungnya…

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -