PAS adil untuk semua, tidak diskriminasi kaum

SANDAKAN: PAS membawa perjuangan ‘Adil Untuk Semua’ dan tidak mendiskriminasikan mana-mana kaum mahupun agama khasnya di Sabah yang memiliki pelbagai etnik dan amnya di Malaysia.

Advertisement

Sebaliknya, parti Islam ini akan menangani masalah dalam masyarakat bukan kerana fokus terhadap penyelesaian isu semata-mata, tetapi lebih penting sebagai jalinan kemanusiaan dan persahabatan.

ADUN Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menegaskan perkara itu ketika berucap dalam Ziarah Mahabbah bersama kaum Tiong Hua di Tokong Tian Fatt Vui Lin, Taman Indah Jaya, di sini semalam.

Ujarnya lagi, PAS menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS yang terdiri dalam kalangan masyarakat Cina, Kadazan, Dusun, India, Siam dan lain-lain, sekali gus menunjukkan PAS parti yang terbuka.

“Adapun tuduhan yang mengatakan PAS sebaliknya, biasanya datang dari kelompok kecil yang ekstrem yang cuba mencari kesalahan dan menyalahkan pihak lain,” jelasnya.

Tambahnya, dalam konteks kerajaan negeri, pihaknya akan membantu semua pihak dengan adil tanpa mengira darjat, bangsa, agama mahupun ideologi politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid yang turut hadir dalam pertemuan itu juga menyatakan konsep keharmonian dibawa PAS kepada semua kaum di negara ini.

Katanya, visi dan misi PAS jelas menunjukkan bahawa parti ini mahukan perpaduan kaum dan integrasi nasional diperkukuhkan bukan sahaja di negeri ini, malah di seluruh Malaysia.

Jelasnya, PAS yang menerajui kerajaan di Kelantan telah lama menunjukkan ‘role model’ dengan mengangkat agenda ini antaranya melalui peruntukan kerajaan negeri yang tidak pernah mengabaikan masyarakat berbilang kaum.

Ziarah yang diadakan dalam suasana penuh muhibah itu turut dihadiri oleh Pengerusi Pengurusan Tokong Tian Fatt Vui Lin, Yap  Shu Yin dan Pengerusi Jawatankuasa Penaja Dewan Himpunan Pendukung PAS Sandakan, Isaac Wong Kah Kiet. – HARAKAHDAILY 29/11/2020