MP PH Kedah tolak bajet untuk rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tindakan 13 ahli parlimen yang cuba menolak Belanjawan Negara 2021 dianggap mengenepikan hak petani, penoreh, nelayan dan pekerja kerajaan mahu pun swasta di negara ini, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Abdul Hadi Omar.

- Advertisement -

“Lebih mengecewakan rakyat Kedah apabila usaha menolak segala perancangan kewangan, untuk rakyat itu bermula dari cadangan Ahli Parlimen dari Kedah sendiri,” ulasnya berhubung usul undian belah bahagi dibuat oleh ahli parlimen PAN Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar.

Katanya lagi, sebenarnya pembangkang sendiri tidak dapat menolak pelbagai keuntungan untuk rakyat menerusi beberapa inisiatif baharu yang dibentangkan dalam penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Khamis lepas.

“Langkah mereka tempang, gopoh dan kelihatan berniat provokatif.

“Lebih baik masing-masing meningkatkan prestasi kerja untuk rakyat dan membuat tindakan matang pada tempatnya bukan membangkang membuta tuli,” sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -