Mendengar, tambah baik dan imbangi cadangan semua

- Advertisement -

DALAM ucapan penggulungan Belanjawan 2021 pada hari Khamis lalu, saya telah mengumumkan sembilan penambahbaikan atau inisiatif tambahan. Ada beberapa pihak, termasuk di kalangan YB-YB sendiri, netizen dan media, yang mempersoalkan pengumuman-pengumuman tersebut. ‘Wajarkah pengumuman tersebut dibuat semasa penggulungan?’

Izinkan saya menjawab dan berkongsi pendekatan di sebalik pengumuman-pengumuman ini. Pertama sekali, ini bukan cadangan daripada saya. Kedua, kesemua penambahbaikan yang diumumkan adalah hasil cadangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri – baik daripada kerajaan mahupun pihak pembangkang. 

Contohnya, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara one-off kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah NADMA telah dibangkitkan oleh, antara lain, YB Pontian, YB Ipoh Barat, YB Hulu Rajang dan YB Lembah Pantai – kesemuanya daripada parti politik yang berbeza. 

- Advertisement -

Keputusan untuk memanjangkan bantuan dibuat setelah mengambil kira hujahan YB-YB tersebut seperti gelombang ke-3 COVID-19 yang kian menular dan pelaksanaan PKPB di beberapa negeri.

Begitu juga penambahan pemberian program e-Belia daripada RM50 kepada RM100, dan perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di IPT dan IPTS. Perkara ini telah dibangkitkan oleh, antara lain, YB Pasir Mas, YB Arau dan YB Muar – kesemua mereka amat prihatin akan isu kebajikan mahasiswa. 

Penambahbaikan lain yang merangkumi peruntukan tambahan kepada Negeri Sabah bagi memerangi COVID-19, pelepasan cukai untuk pengurangan sewaan premis oleh PKS, bantuan untuk pekebun kecil getah serta nelayan darat, komitmen kajian semula elaun perumahan wilayah, serta bantuan musim tengkujuh – kesemuanya telah melalui proses perbahasan di dalam Dewan Rakyat atau dibangkitkan oleh rakyat sendiri melalui pelbagai saluran. 

Tetapi dalam perkhabaran baik ini, saya ada pengakuan – kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan. Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan-kepentingan yang pelbagai – baik dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar memerlukannya, implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem perbendaharaan negara. I admit, it is not an easy balancing act

Namun, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan-kepentingan ini, kerajaan akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Tiada kompromi. 

Pada kesempatan ini, saya ingin membuat ‘shout-out’ atau pengiktirafan kepada penjawat awam di Kementerian Kewangan dan agensi-agensi perbendaharaan. Merekalah yang memberi panduan, nasihat, dan kadang kala ‘teguran’ kepada saya. Mereka memainkan peranan semak imbang yang penting dalam kesemua pertimbangan ini. 

Ada sedikit lagi ingin saya sampaikan – sebahagian inisiatif penambahbaikan ini tergolong dalam kategori bantuan langsung, subsidi dan insentif. Keseluruhannya, ia mencecah lebih RM30.8 bilion bagi tahun 2021 (jauh lebih tinggi daripada RM23.9 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2019). Contohnya, bantuan kebajikan bulanan kepada 400,000 golongan terjejas ditingkatkan hampir 47 peratus atau RM700 juta kepada RM2.2 bilion, berbanding RM1.5 bilion sebelum ini. Peningkatan diberikan sebanyak 20 peratus kepada OKU tidak bekerja; 43 peratus kepada warga emas, bantuan penjagaan OKU, dan pesakit kronik terlantar; 12.5 peratus kepada Pekerja OKU. Dan yang penting sekali adalah peningkatan bantuan sehingga 122 peratus untuk kanak-kanak keluarga miskin, atau bantuan maksimum RM1,000 sekeluarga. Ini adalah komitmen kerajaan kepada janji YAB Perdana Menteri dalam membantu golongan rentan, dan memastikan kebajikan anak-anak kita terjaga.

Panjang pendek ceritanya, sudah berkali-kali kerajaan bertindak menambah bantuan – tidak kurang RM305 bilion nilai pakej rangsangan ekonomi daripada PRIHATIN ke PENJANA ke Kita PRIHATIN, dan kini Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. Penambahbaikan yang diumumkan ini juga dijangka melibatkan peruntukan RM500 juta. 

Pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza mengenai belanjawan ini. Realitinya Belanjawan 2021 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara. It is a COVID – 19 Budget – a budget for survival and resilience. Terciptanya belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabaran-cabaran ekoran wabak COVID-19; bukan hanya ketika menghadapi gelombang ketiga ini, tetapi juga bersedia bagi pertumbuhan selepas mengatasi COVID-19 nanti. Melalui Belanjawan 2021, kita mahu membina ketahanan atau resilience supaya rakyat dapat melangkah ke masa depan yang lebih cerah.

Kebijaksanaan pepatah lama menyatakan: ‘Tiada buluh yang tidak berbuku.’ Maka, sama juga, tiada belanjawan yang 100 peratus sempurna. Saya menerima perkara ini. Oleh itu, saya amat peka dan prihatin akan perlunya untuk sentiasa memasang telinga dan mendengar kata-kata rakyat. Untuk bulan-bulan yang mendatang, kami akan terus mendengar, we will continue to listen, dan kami bersedia untuk terus melindungi rakyat dalam menghadapi COVID-19 dan ekonomi semasa.

TENGKU ZAFRUL AZIZ 
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -