Lulus belanjawan selari BPMS – Dr Azman

MASJID TANAH: Suara majoriti ahli Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat adalah selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dianjurkan oleh PAS selama ini.

Pujian harus dihamburkan kepada semua pihak yang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang tersebut secara tuntas demi kepentingan rakyat dan negara.

Advertisement

Demikian dinyatakan Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Azman Yusof ketika mengulas mengenai Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 diperingkat dasar pada Khamis.

Menurut Dr Azman, apabila Belanjawan 2021 ini dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan berlaku perdebatan yang hangat dalam kalangan ahli Parlimen, tiada siapa yang menyangka belanjawan ini akan mendapat laluan yang mudah.

Tambah beliau lagi, ia tetap dilihat sukar biarpun telah dinasihati oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar semua ahli Parlimen mengutamakan kepentingan rakyat dan negara berbanding agenda sempit politik kepartian.

“Justeru, sokongan terhadap belanjawan ini membuktikan bahawa majoriti ahli Parlimen akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Dan mereka juga tidak menafikan kebaikannya (Belanjawan 2021) setelah disuakan dengan fakta-fakta dan hujah-hujah bernas daripada pihak kerajaan,” ujar Dr Azman.

Kata beliau lagi, ini ditambah dengan tindakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah menambah beberapa insentif lagi setelah meneliti perbahasan-perbahasan ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai ahli akademik dan pemerhati politik, saya berpandangan bahawa ini adalah petanda kepada satu era baru politik tanah air yang selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Ini sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh PAS semenjak tahun 2016 lagi. BPMS adalah sebuah budaya berpolitik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan.

“Ia seterusnya akan membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.