Lemahnya iman penyebab hancurnya rumah tangga

- Advertisement -

PENYEBAB utama hancurnya rumah tangga adalah kerana lemahnya iman, ada ilmu tetapi tidak diamalkan. Kadang-kadang ada lulusan tinggi agama, hafal al-Quran tapi ada masalah di sudut pengamalan ilmu itu sehingga menjadikan sebab musabab berlakunya perceraian di dalam rumah tangga. 

- Advertisement -

Kekadang isteri seorang yang ada ilmu agama, hafal al-Quran dan belajar ilmu Hadis, sehingga ketika berhadapan dengan sikap buruk suaminya, boleh keluarkan hujah-hujah seperti Hadis Nabi sebagai hujah, seperti sabda Nabi S.A.W:

“Sebaik-baik kalian adalah (Suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku”” 

(Hadis Riwayat Tirmizi)  

“Tetapi aku lihat kamu baik dengan sahabat-sahabatmu, kau baik dengan jiran tetangga tetapi bukan dengan aku,” hujah isteri.

Seorang wanita mengadu mengenai, “Suami saya, hebat! Kalau dia memberi ceramah, sebahagiannya yang hadir menitiskan air mata mendengarnya, tetapi di dalam rumah masyaAllah sangat berbeza, bukan seperti dia di luar rumah, nauzubillahi minzalik!.”

Jadi Hassan al Basri, ketika ditanya dengan siapa dia menikahkah puterinya, dijawabnya:

“Jangan pernah engkau menikahkan puterimu kecuali dengan orang yang bertakwa, orang yang bertakwa itu, kalau dia cinta dengan isterinya, dia akan muliakan isterinya, tetapi sekiranya dia tidak suka dengan isterinya, dia tidak akan menzalimi isterinya, kerana dia takut dengan Allah.”

Maka berkaitan dengan lemahnya iman ini, akhlak menjadi salah satu indikator kuatnya iman seseorang (kayu ukur kuatnya iman seseorang), kerana apa? Rasulullah S.A.W telah mengatakan: 

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya, (Siapa?) yang paling baik perilakunya

“Dan bukan yang paling banyak solatnya, bukan yang paling banyak hafalan Qurannya, bukan yang paling banyak hafalan Hadisnya, bukan yang paling panjang janggutnya,” Tidak! Tapi yang menjadi kayu ukur kuatnya iman orang itu, ialah akhlak, akhlaknya. Jadi tolong ambil berat mengenai hal ini, jangan dipandang remeh. 

Kalau kita tengok rumah yang sudah menampakkan ada yang tidak kena, atau sudah nampak kegoyangannya, bererti keimanan dua-duanya mungkin perlu diperbaiki, mungkin sudah tidak pernah solat malam lagi. Dulunya sebelum nikah masya-Allah solat malamnya banyak, puasa Isnin Khamis tak boleh bincanglah, baca Quran setiap hari, zikir sentiasa membasahi bibir, sedekah sangat pemurah tetapi lama kelamaan semuanya jadi pudar dan semakin menghilang. Kenapa?… Sudah ada ancaman atau cabaran dari dalam rumah sendiri yang membawa hati kecundang. 

Mahu puasa, isteri kata, ‘tak payahlah abang’, diikutkannya rayuan isterinya. Mahu solat malam, dipegangi kainnya oleh isteri, maka diikutkannya juga dan begitulah yang lain-lain juga dan sebaliknya, sama sahaja. Jadi suami atau isteri mesti selalu ingat, sekiranya hal keadaan begini sudah mula berlaku dalam rumah tangga, baiki hubungan kalian dengan Allah. Kuatkan imanmu, Allah pasti akan menolong kamu, Allah pasti akan membaiki iman kamu. 

Di samping itu, dosa juga menjadi penyebab berlakunya masalah dalam rumah tangga. Suami yang berbuat dosa di luar rumah, isterinya tidak tahu dan isterinya berbuat dosa di dalam rumah yang suaminya tidak tahu. Apabila suami dan isteri, masing-masing balik dari tempat kerja, atau suami balik dari kerja, masing-masing akan rasa ada jarak di hati masing-masing. Macam ada rasa sesuatu dengan isteri, dan begitu juga isteri terhadap suaminya. Apa penyebabnya?… Dosa. 

Allah menciptakan manusia ini tidak samadalam surah Hud ayat 118 dan 119:

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka…”

Manusia akan terus melakukan kesilapan dan berselisih kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah S.W.T. Jadi ini Sunnatullah. Ingatlah! Sedangkan bersama adik-beradik yang dilahirkan dari ibu bapa yang sama, ada perselisihan, apatah lagi sesama suami isteri yang tidak pernah bersama sebelumnya. Semuanya ada kelebihan dan kekurangan. Bila kita sedar mengenai hal ini, ia menjadi modal utama, bagaimana cara menghadapi setiap masalah yang timbul di dalam rumah tangga. Suami atau isteri tidak boleh memaksa pasangan masing-masing untuk menjadi seperti diri dia dan mengikut keinginan masing-masing.

Jadi tugas kalian menggauli pasangan masing-masing mengikut siapa dia, bukan mengikut siapa kita. Memperbaiki pasangan mengikut keadaan dia bukan mengikut keadaan kita. Ramai yang tidak memahami ini. Sebab itu pendekatan dakwah Rasulullah S.A.W bukan dengan satu cara tapi pelbagai. Setiap kita harus mempelajarinya kalau mahu menjaga keutuhan sebuah rumah tangga.

Contoh kalau isteri perlukan perhatian, suami mesti memberi perhatian dan sebaliknya. Kalau suka pujian, cinta, hadiah, berikan mengikut apa yang dia suka sebab kalian sahaja yang tahu siapa pasangan masing-masing. 

Di antara cara-cara lain yang diajarkan oleh Allah dan Rasulullah untuk mengelakkan kegoncangan dan kehancuran di dalam rumah tangga ialah:

(1) Jangan marah

Pemimpin di rumah siapa? Kalau berlaku permasalahan dalam rumah tangga, marah bukan penyelesaian, banyak masalah remeh berakhir dengan perceraian. Contoh: Suami tegur air kopinya manis, lalu isteri jawab dengan rasa marah, “Orang dah buatkan air, complaint pula! Tak bersyukur”, dari hal yang kecil akhir suaminya marah dan tuangkan air itu atau tinggalkan, bermulalah sengketa, asalnya kerana marah sang isteri. 

Ingat! Penghuni syurga tidak suka marah. Dan Allah katakan mengenai penghuni syurga itu dalam surah Ali Imran ayat 134:

“Penghuni syurga itu (iaitu orang-orang yang bertakwa) adalah… orang yang suka menahan marahnya (emosinya), suka memaafkan orang lain, Allah cinta kepada orang-orang yang suka berbuat kebaikan”.

Maka ingat ketika ada masalah, tahan emosi masing-masing. Dan Rasulullah S.A.W kukuhkan lagi:

“Dari Ibnu Abbas dari Nabi S.A.W Baginda bersabda: “Apabila seseorang dari kalian marah, hendak ia diam!””

(Hadis Riwayat Ahmad No: 2029)  

Takut kalau kalian berkata-kata akan terlepas sesuatu ucapan cerai dan lain-lain kata kesat yang melukakan dan menambah lagi retak-retak kehancuran dalam rumah tangga. Berundur atau diam demi memberi ruang damai dan ketenangan. Nabi sendiri diam ketika Saidatina Sufiah marah-marah dan Saidina Ali juga diam dan undur diri, ketika Saidatina Fatimah, buah hati Rasulullah marah-marah.

(2) Setiap manusia berbuat kesilapan

Hiburkanlah hati kalian dengan kata-kata ini, ketika kalian melihat pasangan kalian berbuat kesilapan, kalian kena ingat juga yang kalian juga ada berbuat kesilapan seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

“Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Kesemua anak Adam itu melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat (Kepada Allah, kembali kepada Allah)”.

Di dalam kehidupan ini, tidak semestinya sesudah bertaubat, tidak mengulangi kesilapan yang sama. Walaupun dia memang sudah tekad tidak akan mengulangi lagi, sudah menyesal tetapi satu ketika, mungkin akan terjebak juga semula kerana banyaknya godaan. Ingat itu, semua orang berbuat salah tetapi jangan putus asa, terus berusaha membaiki diri sampai mati. Masing-masing jangan ambil keputusan melulu dengan bercerai, kecuali sudah benar-benar tidak mampu lagi untuk menghadapinya.

(3) Ketahuilah bahawasanya, hidup ini ujian

Kalian mahu terus bersama atau bercerai, mahu jadi duda atau janda, kalian tetap dalam ujian. Tidak lepas dari ujian, Yang lulus dari ujian cuma dua orang, orang yang bersyukur dan bersabar. Ada yang diuji dengan harta, seperti Qarun tapi akhirnya tidak lulus. Ada yang diuji dengan penyakit dan kehilangan harta seperti Nabi Ayub A.S. Dia bersabar. Ada yang diuji tidak mempunyai anak bertahun-tahun, seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria. Ada isteri yang mengadu dia mendapat suami yang zalim, mudah marah, mudah sekali mencaci maki, apakah kalian mahu meminta cerai? Adakah akan selesai ujian, menjadi janda dengan suami yang berlepas tangan dari tanggungjawab menyara hidup anak-anak, jadi isteri terpaksa bekerja sendiri. Di sini jelas nampak bahawa hidup ini penuh dengan ujian. 

Dan suami pula mendapat isteri yang akhlaknya buruk, tutur katanya kasar, bila ditanya, kenapa tidak ceraikannya, jawabnya, “Aku takut isteriku ini ujian buat aku kerana dosa-dosa yang sudah aku lakukan. Aku takut kalau aku nikah lagi, dapat lebih parah dari dia, jadi aku tiada pilihan, lalui sahaja.” Masya-Allah, hidup ini ujian. Inilah keadaan di mana ada pasangan yang hidup dalam konflik begitu tanpa penghujungnya. Mereka masih bersama sebab mereka menganggap semuanya ini ujian. Seperti kalian lihat pada rumah tangga orang-orang tua kalian.

(4) Kalian mesti sentiasa mengevolusi diri

Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah an-Nisa’ ayat 79: 

“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi.”

Jadi kalau ada konflik dalam rumah tangga, bersegeralah bertaubat, dosa membawa petaka di dalam kehidupan kita, sebagaimana riba menghilangkan keberkatan dalam harta yang kita miliki. Perbaiki hubungan kalian dengan Allah, Allah akan perbaiki hubungan kalian dengan pasangan kalian. 

Mendapat suami yang zalim, mungkin disebabkan solat kalian yang tidak sempurna, puasa belum diganti, suka mengumpat orang. Jadi serahkan pada Allah segala permasalahan dan urusan kita hadapi dengan suami dan dalam ketika sama bertaubat dari dosa-dosa yang sudah kita lakukan. 

Masalah dalam rumah jangan keluar dari tembok rumah. Kenapa? Kerana kalian tidak tahu siapa orang di luar sana yang suka kepada kalian dan yang sebaliknya. Ramai orang ingin merosak rumah tangga kalian sebab tidak suka tengok kalian bahagia. Usahakan ikhtiar hadapi masalah dalaman rumah tangga sendiri, kalau tidak mampu, berjumpa dengan seseorang yang amanah atau alim dan mahukan kebaikan dalam rumah tanggamu. Jangan bebankan kepada kedua ibu bapa kalian, sebab mereka sudah lelah menjaga kalian dari kecil hingga dewasa dan mereka tidak suka anak mereka disakiti. Jangan sekali-kali sebarkan di MedSos

(5) Cari sumber atau penyebab masalah

Kekadang punca masalah dari sumber yang remeh tetapi si isteri menanyai suami macam soalan soal selidik polis. Akhir suami naik suara dan bergaduh. Jadi tukarkan soalan-soalan negatif ke penggunaan bahasa yang positif, masalah pasti jadi zero dan menambah kebahagiaan dalam rumah tangga. Pelajari ilmu komunikasi berkesan dan jangan bertanya di depan anak-anak. 

(6) Isteri banyak mengalah

Kenapa mesti isteri? Kerana kalau isteri selalu mengalah, selesai masalah. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:

“Mahukah Aku beritahu kepada kamu mengenai isteri-isteri kamu yang termasuk dalam penghuni syurga? Iaitu wanita yang mencintai suaminya, mempunyai anak yang ramai dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Sekiranya dia menyakiti ataupun disakiti, dia segera berjumpa suaminya dan memegang tangannya lalu berkata, “Demi Allah, aku tidak akan tidur sebelum engkau reda (memaafkan) kepadaku”.”

(Riwayat an-Nasai) 

Siapa yang salah? Suaminya tetapi yang meminta maaf isterinya demi mengelak rumah tangga bergoyang atau hancur dan kasihan kepada anak-anak. Nabi tidak berkata siapa yang salah tapi berkata siapa yang mengalah. Tapi kalau isteri yang salah, apa yang perlu dilakukan? Sabar! Masing-masing mengalah, di sana akan ada pertolongan dari Allah, ketenangan! Di dalam hati masing-masing.

(7) Wakil keluarga

Kalau masing-masing sudah usaha, konflik masih ada setiap hari sebab masing-masing memperkatakan mereka benar, maka dengarlah pesanan Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 35:

“Dan jika kamu takutkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang wakil dari keluarga laki-laki dan seorang wakil dari keluarga perempuan. Jika kedua orang wakil itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Perceraian solusi terakhir setelah ikhtiar terbaik dan istighfar. Jangan pernah melupakan kebaikan yang pernah ada di antara kalian. Perceraian ada peringkat-peringkatnya dan batas-batasnya mengikut yang telah diajari oleh syariat yang diredhai AllahPilihan di tangan kalian, biar ada iman di dalam pilihan kalian.

Kesimpulannya

Semoga yang membaca artikel ini, rumah tangganya mendapat sakinah, mawadah dan warahmah, bersama-sama meniti tangga kehidupan berumah tangga bersama suami isteri pilihan dan anak-anak masing-masing menuju jalan bahagia ke syurga. Kalau dasar perkahwinan kerana cinta kepada Allah, pasti Allah akan mempermudahkan, tiada sesuatu yang mudah kecuali apa yang dimudahkan oleh Allah, yang susah juga akan mudah kalau Allah permudahkan.

Permudahkanlah Ya Allah urusan rumah tangga dan kehidupan diri kami, rumah tangga kami, masyarakat kami, jamaah kami dan Negara kami semua. Aamiin. Wallahu ‘lam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -