Larangan arak tidak sekat hak bukan-Muslim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Abdullah memuji Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPLMK).

Menurut pendakwah keturunan Cina ini, pun begitu peraturan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berdepan sentimen pihak tertentu yang dilihat sebagai cuba meletuskan pertembungan Islam dengan bukan-Islam.

Sedangkan tegasnya, larangan tersebut bukan untuk menghadkan hak rakyat bukan-Islam, tetapi melindungi rakyat Malaysia secara keseluruhan dari bahana arak yang telah sedia dimaklumi kesan buruknya selama ini.

- Advertisement -

Beliau memberi contoh Singapura, Ireland dan Perancis yang menetapkan waktu larangan minum dan penjualan, serta menghad dan mengharamkan pengiklanan arak di premis dan pengangkutan awam.

Beliau menyifatkan usaha DBKL itu untuk kesejahteraan rakyat dan memetik kajian di Bandar Diadema, Brazil di mana kadar pembunuhan tinggi dikaitkan dengan pengambilan alkohol dan menurun selepas ia dihadkan.

“Justeru, saya percaya undang-undang baharu DBKL itu akan membantu menurunkan kes kemalangan, kematian dan jenayah yang berkaitan arak,” ujarnya dalam temubual bersama Sinar Harian disiarkan 24 November lalu.

Penambahbaikan, bukan penafian hak

Ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Shamsiah Mohamad menyifatkan GPLMK itu bukan menafikan hak bukan-Islam, tapi adalah satu penambahbaikan. 

Menurutnya yang juga Ahli Panel Penilai dan Penasihat Syariah di beberapa institusi lain itu, penambahbaikan tersebut bertujuan mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan alkohol serta kawalan keselamatan dan kesihatan warga kota.

“Tujuannya adalah untuk mengawal agar arak tidak terlalu mudah diperoleh oleh orang ramai. Hakikatnya, GPLMK tidak melarang secara mutlak aktiviti menjual dan meminum arak. Paling tidak dapat menyukarkan sedikit orang ramai mendapatkan arak. 

“Kerana ia tidak lagi boleh dibeli dengan mudah dari kedai runcit atau serbaneka dan kedai ubat Cina seperti sebelumnya. Namun, pada pandangan saya, meskipun sudah ada penambahbaikan, tetapi masih ada kekurangannya yang perlu ditambah baik

“Antaranya Perkara A(10) yang hanya menetapkan kepada premis berkenaan agar memastikan tiada pengunjung beragama Islam meminum arak di situ. Ia seolah-olah larangan kepada umat Islam hanyalah terhad kepada meminum arak di premis berkenaan.

“Tetapi jika dia membeli dan minum di rumah tidaklah dilarang. Sekiranya yang dimaksudkan adalah larangan penjualan arak, sepatutnya digunakan perkataan dilarang menjual arak supaya ia lebih jelas,” syor beliau. 

Kemukanya juga Perkara A(10), pada Bahagian C, GPLMK masih memberi laluan penjualan bir di premis berkenaan di mana merupakan antara kekurangan dalam peraturan itu yang perlu disemak kembali jika kerajaan serius untuk mengawal arak.

Beliau mengharapkan langkah diambil DBKL memberi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain untuk membuat penambahbaikan terhadap garis panduan berkaitan arak di negeri masing-masing.

Terdahulu dalam artikel beliau yang disiarkan Sinar Harian pada 26 November lalu itu jelasnya, arak dilarang kerana Islam sangat mengambil berat mengenai penjagaan akal yang merupakan salah satu daripada al-daruriyyat al-khamsah.

Ketua Penerangan MIC Negeri Johor, S Deva memuji langkah tersebut adalah rasional yang secara tidak langsung dapat mengatasi masalah sosial masyarakat termasuk membantu aspek kesihatan.

Kerana menurutnya, minuman keras menyumbang kepada 200 jenis penyakit dan kecederaan organ antaranya strok, pendarahan usus, kerosakan janin dan kanser serta 23.6 kematian akibat kemalangan bagi setiap 100,000 warga.

Malah kesali beliau, memetik kajian Universiti Teknologi MARA (UiTM), minuman tersebut telah diambil kebanyakan remaja lelaki dan perempuan berusia seawal 15 tahun di negara ini yang dikhuatiri menjadi tabiat menular dalam kalangan pelajar.

Beliau juga membidas mereka yang membantah keputusan tersebut sebagai bersekongkol dan berselindung disebalik nama kebebasan dengan cuba mengaut untung dengan menggadai keselamatan, kesihatan dan kepentingan rakyat.

Justifikasi pengharaman arak

Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Muhammad Hisyam Mohamad mendedahkan, gejala minum arak melibatkan generasi muda negara ini sememangnya mengejutkan.

Sedangkan katanya, masalah arak disebut dalam Tafsir Al-Maraghiy dan Tafsir HAMKA memungkinkan pembunuhan, pergaduhan, rompakan, kefasikan, penyebaran rahsia dan pengkhianatan terhadap pemerintah serta negara.

“Justifikasi pengharaman arak turut disokong kajian ketika mengaitkan kesan bahaya pengambilan arak ke atas peminum dan persekitaran peminum serta masyarakat keseluruhan. Ini termasuk kesan sosial dan ekonomi. 

“Kesan sosial merujuk kos terpaksa ditanggung masyarakat dan persekitaran peminum, sekali gus tidak secara eksklusif ditanggung peminum arak sahaja.

“Kos sosial lebih menjurus kepada kesan terhadap kesejahteraan masyarakat seperti kemalangan jalan raya, masalah di tempat kerja, kemiskinan, kesihatan, keganasan rumah tangga dan kegagalan melaksanakan peranan sosial terhadap keluarga.

“Seterusnya, kesan sosial akan memberi impak negatif terhadap aspek ekonomi secara keseluruhan. Hal ini wujud kerana aspek sosial ialah unsur penting yang boleh mempengaruhi produktiviti dan mutu penghasilan kerja masyarakat serta negara,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dapatan kajian dan kutipan data dibuat oleh Assunta, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut senada dengan dapatan kajian dilakukan pada peringkat antarabangsa.

Juga katanya, selain memburukkan isu kemiskinan dan menyebabkan rumah tangga porak peranda, pengambilan arak juga antara penyebab berlaku kemalangan jalan raya di negara ini iaitu pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkannya.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dibuat oleh Institut Kesihatan Umum KKM, 11.8 peratus penduduk mengambil alkohol dengan 45.8 peratus mengambilnya secara mudarat atau sehingga mabuk.

“NHMS 2019 turut melaporkan pengambilan alkohol juga menjadi penyebab kepada kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini, iaitu 17.6 peratus lelaki dan wanita (10.9 peratus); sirosis hati (lelaki 16.8 peratus dan wanita 16.2 peratus) serta kanser (lelaki 2.2 peratus dan wanita 0.6 peratus).

“Terdapat data kemasukan ke hospital di bawah KKM menunjukkan 48 peratus daripadanya akibat kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca pengambilan substan psikoaktif berpunca pengambilan alkohol,” ujarnya dalam artikel disiarkan Berita Harian, 25 November lalu

GPLMK mula dikuatkuasakan pada 15 November 2020 dan peraturan baharu menetapkan larangan penjualannya kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina berkuat kuasa 1 Oktober 2021. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -