Kerajaan beri perhatian tinggi kepada golongan OKU 

ALHAMDULILLAH, saya teruskan lagi Misi Kembara Prihatin Negara (KPN) dalam Ziarah Prihatin ke rumah penerima bantuan OKU sejurus selepas perasmian KPN Terengganu di PDK Marang. 

OKU telah mendapat perhatian dalam Belanjawan 2021, antaranya adalah bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja telah dinaikkan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

Kerajaan juga akan menaikkan bantuan untuk penjaga OKU dan pesakit terlantar mereka iaitu dari RM350 hingga RM500. Lebih 190,000 OKU di Malaysia adalah penerima bantuan bulanan.

Advertisement

Kenaikan saguhati lebih dari 150 peratus iaitu nilai RM150 dinaikkan kepada RM400 untuk Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah yang melibatkan penjagaan warga emas dan OKU. 

Elaun pekerja OKU juga telah dinaikkan dari RM400 kepada RM450. Pasangan OKU juga akan mendapat pelepasan cukai dari RM3,500 kepada RM5,000, melebihi 40 peratus.

Majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada OKU juga akan dapat pelepasan cukai sebanyak 20 peratus. Selain itu OKU juga akan dapat RM5 pas perjalanan tanpa had.

Terima kasih banyak kepada Ahli-ahli Parlimen yang bersetuju bagi meluluskan Belanjawan 2021 yang sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada seluruh rakyat.

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 29/11/2020