Kempen pertanian untuk diri dan masa depan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pejabat Pertanian Daerah Kuantan telah melaksanakan Kempen Kelapa Keliling Rumah Bumi Hijau dan Pertanian Bandar di Dewan Orang Ramai Kampung Darat Beserah, Kuantan, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Program ini berusaha memberi penekanan dan kesedaran kepada penduduk supaya memanfaatkan ruang yang ada dengan bercucuk tanam bagi keperluan sendiri melibatkan tanaman jangka pendek seperti lada dan sayur-sayuran.

Inisiatif itu mampu mengurangkan kebergantungan luar, sekali gus menjimatkan kos ke arah membendung kesan kenaikan kadar inflasi serta beban kewangan akibat kenaikan harga barangan di pasaran pada masa kini.

ADUN Beserah, Andansura Rabu dalam ucapannya berharap kempen ini dapat menarik golongan muda untuk menyertai pertanian kerana bidang ini merupakan salah satu sektor penting yang boleh menjana ekonomi diri dan negara.

“Sebab itu Jabatan Pertanian mengusahakan kempen ini sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan bekalan bahan makanan negara di samping dapat memberi pulangan kepada pengusahanya,” ujar beliau.

Sempena program ini sebanyak 200 pokok kelapa diberikan kepada 100 penerima di sekitar Beserah, Kampung Batu Hitam, Kampung Beserah Darat dan Kampung Pantai supaya mereka boleh menanam kelapa di sekeliling rumah.

Ianya dihasratkan untuk kegunaan sendiri dan juga boleh mendatangkan hasil di masa yang akan datang, selain menghijaukan persekitaran kediaman masing-masing.

Program ini telah diketuai oleh Penolong Pegawai Pertanian, Faisal Mokhtar dan dihadiri juga Pengerusi JKKK Kampung Darat Beserah, Azairuddin Osman, dan Pengerusi JKKK Kampung Batu Hitam, Mohamad Hamdan Sulaiman. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -