Dr Aliakbar bawa misi ‘dapur dan perut’ bantu rakyat

- Advertisement -

SANDAKAN: ADUN Sabah, Dr Aliakbar Gulasan yang sinonim dengan gerak kerja kebajikan telah membawa misi ‘dapur dan perut’ menyantuni warga terjejas akibat pandemik COVID-19 di Taman Harmoni, di sini semalam

- Advertisement -

Dengan kerjasama PAS Kawasan Sandakan, program ini telah menyumbangkan 250 pek makanan kepada penduduk dan turut diedarkan hingga ke Taman Mesra, Kampung Forest, Taman Kam Jai Yen, Sri Taman, Kampung Sim Sim dan lain-lain.

Menurut Dr Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Negeri Sabah, mereka tampil dalam setiap misi kebajikan atas tanggungjawab sesama manusia yang perlu membantu tanpa mengira latar belakang ketika ditimpa musibah.

“Isu dapur dan perut ini sangat dekat dengan setiap lapisan masyarakat kerana sekarang hampir semua orang terjejas. Kesusahan kerana wabak ini jadi pihak lain yang mampu perlu tampil membantu ringankan beban ini,” ujarnya.

Pengerusi Lembaga Koko Malaysia ini juga menekankan bahawa setiap sumbangan diberikan bukan hanya kepada ahli PAS mahupun mereka yang mengundi PAS, tetapi buat semua lapisan masyarakat yang memerlukan.

“Tidak kira kita dari PAS-kah, WARISAN-kah, PCS, LDP, BN, PBS atau mana-mana parti sekalipun, kita semua rasa lapar dan dahaga. Jadi PAS akan cuba bantu semua yang terjejas berdasarkan kemampuan kita ada,” jelasnya.

Pesannya lagi, rakyat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung wabak COVID-19 di mana kini dilihat menunjukkan corak peningkatan di negeri ini.

“Kita perlu akur dengan setiap SOP yang ditetapkan kerana ia untuk kebaikan kita bersama. Bukannya tujuan untuk menyusahkan, mudah-mudahan kita bebas dari penyakit ini,” tambahnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dan Timbalan Yang DiPertua PAS Sandakan, Ramlan Rahemen serta Ketua Muslimat PAS Sandakan, Norfaezah Junaidi dan Ketua-ketua Cawangan PAS di Sandakan. – HARAKAHDAILY 29/11/2020

- Advertisement -