Belanjawan boleh ditolak pada bacaan kali ketiga?

- Advertisement -

BACAAN kali kedua adalah peringkat terpenting kepada kelulusan mana-mana rang undang-undang termasuk Belanjawan. Bila lulus bacaan kedua maksudnya ia telah lulus secara dasar. Maka soal dasar tidak lagi boleh dibangkitkan selepas itu. Menurut Andrew Harding, penulis buku Law, Government and the Constitution in Malaysia,bacaan peringkat ketiga hanyalah formaliti. Ia sekadar untuk menyempurnakan kelulusan rang undang-undang selepas melalui perbincangan terperinci di peringkat jawatankuasa.

Maksudnya, selepas Rang Undang-undang Perbekalan diluluskan secara dasar pada 26 November lalu, Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu berbincang setiap perincian dalam Rang Undang-undang Perbekalan dan jadual yang berkaitan bagi melihat jika ada sebarang pindaan dan penambahbaikan. Perbincangan itu perlu menghasilkan persetujuan bersama. Jika persetujuan tidak dicapai, Dewan Rakyat boleh menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membincangkan secara spesifik aspek yang menjadi pertikaian. Selepas persetujuan dicapai, maka Rang Undang-undang Perbekalan dibaca untuk kali ketiga untuk diluluskan secara formaliti.

Oleh yang demikian, menurut semangat Perlembagaan, selepas Belanjawan telah lulus secara dasar, ia perlu diterima dalam bacaan ketiga sebagai formaliti selepas perbezaan pendapat dalam soal spesifik dicapai di peringkat jawatankuasa.

- Advertisement -

Jika ada pihak menolak dalam bacaan ketiga, selepas semua proses muafakat terlaksana, ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi Belanjawan 2021 dirangka untuk mengatasi cabaran COVID-19 yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara. Ia juga satu lambang penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Jika alasan menolak kerana ingin menjatuhkan Perdana Menteri dan mencadangkan Perdana Menteri baharu, ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan telus. Sila buktikan bahawa calon Perdana Menteri baharu memiliki sokongan yang cukup sebelum bertindak. Usaha menjatuhkan seorang Perdana Menteri di saat tiada calon lain yang memiliki sokongan yang lebih besar adalah satu langkah tidak bertanggungjawab kerana ia menjerumuskan negara kepada konflik politik yang tidak berkesudahan.

Jika alasan menolak kerana mahukan Pilihan Raya Umum disegerakan, ia adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat yang sedang menderita kerana tekanan ekonomi yang berlaku akibat wabak yang melanda. Rakyat tidak bersedia untuk mengambil risiko lonjakan penyebaran wabak akibat pilihan raya seperti yang pernah berlaku di Sabah.

Kita berdoa agar Allah memberikan petunjuk terbaik buat anggota Dewan Rakyat agar mengutamakan maslahahnegara dan rakyat dan mengenepikan kepentingan politik dan peribadi dalam membuat keputusan yang besar ini.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 29/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -