Tiga syarikat kuari bantu selenggara parit Kg Selamat

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Masalah perparitan yang mengundang kegusaran penduduk setempat telah dapat diatasi dengan bantuan diberikan tiga syarikat pengusaha kuari melakukan kerja baik pulih di Kampung Selamat Pelabuhan Kuantan.

- Advertisement -

Selama ini, walaupun kampung ini berada jauh dari sungai dan bukan kawasan ditenggelami air, tetapi penduduk berdepan kebimbangan apabila hujan turun dengan lebat di mana akan menyebabkan banjir kilat berlaku.

Sehubungan itu, Ketua PAS Cawangan Kampung Selamat, Azman Ali bersama Pengerusi JKKK Kampung Selamat, Aziz Manap daripada Umno serta ADUN Beserah, Andansura Rabu telah mengadakan perbincangan dengan syarikat terbabit.

Hasilnya, Gebeng Quarry Sdn Bhd, Hanson Product Quarry Sdn Bhd dan Blacktop Industries Sdn Bhd bersetuju mengendali dan menguruskan segala kos perbelanjaan jentera berat bagi kerja membaikpulih perparitan di situ, kelmarin.

Menurut Azman, parit di situ telah digali Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang sekitar lapan tahun lalu bagi tujuan mencegah banjir, namun keluasan parit itu tidak mampu menampung jumlah air hujan.

Malah, keadaan itu katanya, turut berpunca dari semak samun yang tumbuh melata dan menghalang aliran air, sekali gus usaha membaikpulih akan melancarkan laluan air dan diharap melegakan sedikit penduduk dari terkesan banjir.

Menurut Andansura, pihaknya berharap projek pembersihan hasil usaha sama Pusat Khidmat DUN (PKD) Beserah, JKKK, tuan tanah dan tiga syarikat pengusaha kuari itu membantu penduduk terutama kediaman mereka yang dinaiki air.

Menurutnya, pihak JPS tidak dapat melaksanakan penyelenggaraan berikutan sebahagian parit tersebut berada dalam tanah milik penduduk dan parit tersebut diberi kebenaran oleh tuan tanah sebagai laluan air.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan tuan tanah tidak dapat dihubungi dan mereka telah meninggalkan tanah tersebut terbiar tanpa ada pembersihan yang menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, hasil bantuan tiga syarikat pengusaha kuari tersebut, segala urusan pembersihan dan selenggara parit menggunakan jentera besar dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa dikenakan kos,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/11/2020

- Advertisement -