Potensi madu kelulut tingkat sosio ekonomi pengusaha

- Advertisement -

KOTA BHARU: Industri ternakan kelulut di Malaysia dilihat amat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi pengusaha, sama ada diusahakan secara kecil-kecilan mahupun secara komersial.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengikut statistik Jabatan Pertanian, sehingga Oktober tahun ini pengusaha kelulut di negara ini telah menghasilkan 145,856 kilogram (kg) madu kelulut dengan nilai lebih RM21 juta.

- Advertisement -

“Kita lihat industri madu kelulut ini, berupaya diletakkan sebagai salah satu daripada sumber kekayaan baharu negara, yang mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Madu kelulut dikatakan madu terbaik dunia dan sesuai diternak besar-besaran di samping berpotensi menjadikan Malaysia pemain utama dalam pasaran … sekali gus mempertingkatkan pendapatan para penternak,” katanya selepas melawat industri kelulut di Min House Camp, Kubang Kerian di sini hari ini.

Che Abdullah berkata, kementeriannya telah mengenal pasti beberapa strategi bagi meningkatkan lagi pengeluaran madu kelulut, termasuklah bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan kepada pengusaha termasuk kursus dan bimbingan keusahawanan.
 
“Walaupun menghadapi beberapa cabaran di peringkat pasaran dunia disebabkan masih banyak negara belum mengiktiraf madu kelulut sebagai satu daripada jenis madu disebabkan rasanya yang masam dan berbeza dengan madu lebah lain, namun kerajaan sentiasa berusaha memartabatkan industri ini melalui kerjasama pelbagai agensi terutamanya Jabatan Pertanian.

“Malah, kita turut membantu pengusaha madu kelulut di negeri untuk memasarkan hasil madu kelulut mereka dengan menjadi ‘orang tengah’, bagi memudah cara diantara pengusaha dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, bagi memasarkan hasil mereka,” katanya.

Sementara itu Che Abdullah berkata, Kelantan merupakan negeri penyumbang terbesar pengeluaran madu kelulut di Semenanjung Malaysia dengan pengeluaran mencecah 24,730 kilogram (kg) bernilai lebih RM3.5 juta, pada tahun 2019.

Beliau berkata, terdapat 233 pengusaha madu kelulut berdaftar di seluruh negeri Kelantan yang bergiat aktif dan jumlah pengeluaran tersebut menjadikan Kelantan sebagai negeri kedua terbanyak pengeluaran madu kelulut di Malaysia selepas Sarawak. – BERNAMA

- Advertisement -