Perkembangan banjir di Terengganu, Kelantan, Perak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila peningkatan mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara di negeri itu, manakala paras air di Sungai Golok, Kelantan mencatat bacaan melepasi paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,692 mangsa daripada 424 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 698 orang daripada 201 keluarga pada 4 petang semalam.

Kesemua mereka ditempatkan di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu tujuh di Kemaman, tiga di Dungun dan masing-masing satu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

- Advertisement -

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah paling terjejas ialah di Kemaman dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,310 orang daripada 313 keluarga berbanding 279 orang daripada 79 keluarga petang semalam.

Beliau berkata peningkatan mendadak jumlah mangsa itu adalah susulan pembukaan lima lagi PPS di Kemaman iaitu di Masjid Kampung Dadong, Surau Haji Othman, Dewan Sivik Felda Seberang Tayor, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Dewan Orang Ramai Batu 14 sejak lewat petang semalam.

Sementara itu, di Kelantan, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan 9.02 meter iaitu melepasi paras bahaya 9 meter setakat pukul 10 pagi ini berikutan hujan berlarutan sejak semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata beberapa penempatan di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang termasuk Kampung Kusar, Kampung Lanchang, Kampung Bongor dan Kampung Terusan sudah dinaiki air sekitar 0.4 meter.

“Setakat ini masih tiada penduduk dipindahkan dan pihak kami menasihatkan kepada penduduk terutamanya di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan,” katanya.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga pukul 8:00 pagi tadi, tiada pusat pemindahan dibuka di seluruh negeri, dan cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung di beberapa kawasan dengan sesekali hujan.

Di Perak, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di tiga daerah iaitu Kerian, Manjung dan Hilir Perak yang memberi perlindungan kepada 187 mangsa banjir daripada 46 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.
 
Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Perak, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai menempatkan 87 orang, PPS SK Kayan (30 orang) dan PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan 70 orang.

“Cuaca di kebanyakan tempat termasuk di bandaraya Ipoh adalah baik pada pagi ini dan kita sedang menunggu air banjir surut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Melaka, keadaan banjir kian memulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 18 mangsa daripada empat keluarga sehingga pukul 8 pagi ini berbanding 48 mangsa daripada 11 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)  Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong di Jasin.

Hujan dilaporkan pada sebelah pagi di satu dua tempat dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan. – BERNAMA

- Advertisement -