Pembunuhan saintis Iran bakal cetus ketegangan teruk

SELEPAS Qasim Sulaymani, seorang lagi tokoh penting Iran hari ini syahid. Mohsen Fakhrizadeh, saintis penting dalam pembangunan teknologi nuklear Iran dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Tehran, awal pagi tadi waktu Malaysia. Beliau dikatakan telah diserang hendap ketika sedang berada di dalam kereta.

Agensi berita Iran, ISNA melaporkan cubaan menembak Fakhrizadeh dan meletupkan kereta Nissan berlaku, sebelum kejadian tembak menembak. Iran menuduh Israel sebagai dalang serangan. Menteri Luar Iran menyifatkan serangan ini sebagai tindakan bacul. Walau bagaimanapun, PM Israel Netanyahu menolak untuk memberikan apa-apa respons. 2018 lalu, Netanyahu pernah menyebut nama Farikhzadeh sebagai watak utama dalam program nuklear Iran sebagaimana maklumat yang dicuri dari arkib nuklear Iran.

Sejak revolusi yang menumbangkan rejim pro Barat, pentadbiran republik Islam Iran amat menekankan soal pembangunan teknologi ketenteraan. Mereka bukan sahaja merekrut ramai saintis, bahkan mereka turut menawarkan suaka kepada ramai saintis Islam seluruh dunia yang diburu oleh kerajaan masing-masing. 

Advertisement

Fakhrizadeh juga merupakan pemimpin pasukan elit pengawal Revolusi Iran. Jurnalis Israel, Yossi Meiman menulis bahawa Fakhrizadeh merupakan orang yang dikehendaki Mossad sejak begitu lama. Beberapa pemimpin Iran telah memberikan respons segera untuk menuntut bela atas darah Fakhrizadeh. Mejar General Tentera Iran berkata, musuh sudah pasti tahu apa akan berlaku akibat serangan ini. Bahkan jurucakap Hezbollah Lubnan juga turut membela kematiannya dan menyatakan komitmen serta tidak sesekali gentar terhadap musuh.

Presiden US, Trump menyifatkan kejadian ini akan memberi kesan besar kepada suhu politik Antarabangsa. Sebagaimana agenda beliau membunuh Qasim Sulaimani, boleh jadi ia adalah satu konspirasi bagi mengganggu proses transisi kepimpinan US kepada Joe Biden.

Program nuklear Iran menjadi fokus utama dalam dasar luar US. Ketika Obama memeterai Perjanjian P5+1 antara Iran dan kuasa besar dunia 2015, beliau telah dikritik hebat oleh birokrat US termasuk pemimpin demokrat sendiri terutama juak neo-conservatist seperti Hillary Clinton dan Joe Biden. Bahkan kedua-dua calon Presiden US menjadikan tekanan terhadap Iran sebagai Manifesto Pilpres 2016.

Dunia Islam bahkan masyarakat dunia wajar mengecam dalang di sebalik kejadian tidak berperikemanusiaan ini. Inilah wajah sebenar Barat yang berselindung di sebalik ideologi Liberalisme, menyerang Dunia Islam atas nama memelihara ideologi Liberal dan menentang keganasan, tetapi hakikatnya merekalah pengganas sebenar.

ALANG IBN SHUKRIMUN
13 Rabiul Akhir 1442
28 November 2020 – HARAKAHDAILY 28/11/2020