MP-MP PAS jauh matang, terkehadapan dari PKR-DAP

- Advertisement -

SELAMA tiga tahun berturut-turut sebelum ini Ahli-ahli Parlimen PAS dikecam hebat kerana tidak menyertai pakatan pembangkang di dalam menolak Bajet 2016, Bajet 2017 dan Bajet 2018.

Ahli-ahli Parlimen PAS tidak menyertai pakatan pembangkang di dalam menolak Bajet 2016 kerana, mengikut Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ‘dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat’ selain kerana Ahli-ahli Parlimen PAS ‘bersetuju secara dasarnya dengan bantuan-bantuan yang diberi oleh kerajaan terhadap rakyat’. (1)

Kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini memarahkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang berkata keengganan tolak Bajet 2016 menunjukkan PAS mahu bersama BN (2) malah Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul, Ketua Whip DAP, Anthony Loke dan Ketua Whip PAN, Khalid Samad, mengeluarkan kenyataan khas bagi membedal pendirian PAS itu (3).

- Advertisement -

Ahli-ahli Parlimen PAS juga tidak menyertai pakatan pembangkang di dalam menolak Bajet 2017 kerana, mengikut Ahli Parlimen Temerloh, ‘kita tidak mahu maksudnya menolak keseluruhan Bajet 2017 sebab ada juga dalam Bajet itu perkara-perkara yang baik dan perlu sampai kepada rakyat seperti bahagian emolumen sebagai contohnya’ (4).

Ahli-ahli Parlimen PAS juga tidak menyertai pakatan pembangkang di dalam menolak Bajet 2018 kerana, mengikut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, ‘PAS sokong perbelanjaan yang bermanfaat kepada rakyat seperti mendirikan sekolah, hospital, BRIM, biasiswa, bantuan kepada petani, nelayan’ dan ‘Kebenaran ialah rakan PAS walaupun yang membawa kebenaran itu ialah musuh’ (5).

Bandingkan pula kenyataan Ahli-ahli Parlimen PAS di dalam menerangkan sebab mereka tidak menolak Bajet 2016, Bajet 2017 dan Bajet 2018 ini dengan penjelasan Ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR di dalam menerangkan sebab mereka tidak menolak Bajet 2021.

Jelas Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim: ‘Pertimbangan kita adalah untuk memastikan projek pro-rakyat seperti petani, nelayan, pekebun kecil, pekerja, penganggur, pekerja kilang itu ditingkatkan dan sebahagiannya diambil kira dalam Bajet 2021’ dan ‘keputusan-keputusannya itu nampak memberikan sedikit response… maka saya dapati agak sukar untuk kita memberikan penolakan keras pada peringkat awal (ke atas Bajet 2021). (6)’

Jelas Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke: ‘Mengapa kita tidak undi belah bahagi hari ini? Sebabnya ialah kita tidak menolak keseluruhan Belanjawan tersebut. Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat. (7)’

Bukankah hujah-hujah yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR sekarang sama dengan hujah-hujah yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini?

Tidakkah ini menjadi bukti jelas bahawa Ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR kini sudah mengakui kesilapan mereka dan kebenaran pendirian Ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini?

Tidakkah ini menjadi bukti jelas bahawa pemikiran Ahli-ahli Parlimen PAS jauh lebih matang dan jauh lebih terkehadapan berbanding pemikiran Ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 28/11/2020

Rujukan:

(1) https://www.astroawani.com/berita-politik/pas-tidak-akan-sertai-usul-tolak-bajet-2016-abdul-hadi-79006

(2) https://www.malaysiakini.com/news/317999

(3) https://www.malaysiakini.com/news/319086

(4) https://www.malaysiakini.com/news/362033

(5) https://www.malaysiakini.com/news/401849

(6) https://www.facebook.com/16194831839/posts/10161147402101840/

(7) https://www.facebook.com/129323924541/posts/10157922129319542/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -