Apa itu ujian Allah S.W.T?

- Advertisement -

UJIAN adalah ketahanan iman seseorang terhadap dugaan lahir dan batin yang menimpa, yang sudah pasti ada hubung kait dengan kehidupan kekal abadi di alam akhirat kelak.

Setiap manusia yang bergelar hamba Allah tidak akan terlepas daripada sebarang ujian. Ujian datang kepada semua golongan, sama ada kecil ataupun besar, tua mahupun muda, beragama Islam ataupun kafir, kaya dan juga miskin semuanya pasti akan diuji.

Namun, adakah kita semua telah bersedia untuk menghadapi segala bentuk ujian itu? Bagaimanakah cara kita menghadapinya? Tepuk dada tanya iman.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T dalam al-Quran bermaksud: 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.”

(al-Ankabut: 2-3)

Al-Quran memerintahkan orang-orang yang beriman agar menjadikan sabar dan solat sebagai penolong dalam menghadapi ujian dan cubaan terutamanya dalam melaksanakan tugas dakwah.

Allah S.W.T berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(al-Baqarah: 153)

Dunia hari ini sedang bergelut dengan serangan wabak COVID-19, rakyat semakin gusar dan risau. Tambahan pula, pada ketika ini masuknya musim tengkujuh. Hujan yang turun menambahkan lagi kebimbangan sesetengah penduduk. Bimbang berlaku banjir yang mungkin merosakkan harta benda di kediaman masing-masing.

Saat kebimbangan dan kegelisahan melanda di jiwa, maka, sabar dan solatlah solusi terbaik yang wajib kita lakukan. Bergantung harap hanya kepada Allah dalam sebarang situasi dan keadaan. Manusia itu hanyalah perantaraan sahaja. Hakikatnya Allah-lah yang mengutuskan bantuan dan pertolongan itu.

Bahkan, tatkala kita mengalami kesusahan dan kesempitan hidup, kerugian dalam perniagaan, kegagalan dalam percintaan dan rumah tangga, kesakitan serta pelbagai masalah lain lagi yang dihadapi, maka sabar dan solatlah jalan penyelesaian terbaik.

Bangun bermunajatlah di sepertiga malam memohon segala hajat dan mengadulah hanya kepada Allah agar hilang keresahan itu, agar lega jiwa yang gundah gulana. Berdoa dan terus berdoa tanpa jemu. Pohonlah agar Allah memberi kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi sesuatu ujian itu. Mengadu dan alirkan air mata itu di hadapan Allah yang bersaksikan sejadah dan para malaikat. Natijahnya, ketenangan jiwa pasti diperolehi. Cubalah… In sya-Allah.

Jangan sesekali dikecohkan permasalahan itu kepada manusia di sana sini. Pilihlah yang boleh dipercayai untuk berkongsi suka-duka. Mengadu kepada manusia sebarangan sama sekali tidak menyelesaikan masalah, bahkan akan menyerlahkan aib diri sendiri pula. 

Baginda bersabda yang bermaksud: 

“Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya adalah kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Ibn ‘Ataillah: 

“Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, bererti dia bersedia untuk kehilangan nikmat tersebut. Namun, sesiapa yang mensyukurinya, bererti dia telah mengikatnya dengan kekangnya.”

Justeru itu, sama-samalah kita hadapi setiap permasalahan dengan penuh sabar, redha dan bersyukur ke atas segala nikmat yang telah Allah berikan. Sama ada nikmat itu dalam bentuk fizikal dan material mahupun nikmat kesihatan, anak-anak, saudara-mara dan lain-lain lagi. Malah nikmat yang lebih tinggi dan bernilai adalah nikmat iman dan Islam.

Walau bagaimanapun, ujian yang kita hadapi tidak seberat ujian yang dihadapi para Nabi. Sa’ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: 

“Siapakah orang yang paling berat cubaannya?”

Beliau menjawab: 

“Rasulullah S.A.W pernah bersabda (yang bermaksud): “Orang yang paling berat cubaannya ialah para Nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang di bawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki sebarang dosa lagi”.”

Setiap ujian yang dihadapi akan mengecil jika kita membesarkan iman dan takwa di jiwa. Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong kita untuk berdepan dengan setiap cubaan yang digusari itu. 

Semoga bermanfaat untuk semua.

ZAIBIDAH ABDULLAH – HARAKAHDAILY 28/11/2020

- Advertisement -