Anwar tidak tolak Belanjawan sebab tiada keupayaan?

KELULUSAN Belanjawan 2021 peringkat dasar iaitu untuk bacaan kali kedua Khamis lepas terus melonjakkan imej kerajaan khasnya di mata rakyat. Bursa Saham Negara melonjak pada hari yang sama dan keyakinan terhadap kemampuan dan keupayaan kerajaan ini tiada lagi dipertikaikan.

Ianya memberikan kelegaan kepada jutaan rakyat Malaysia yang menanti-nantikan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan yang dijangka membantu mereka dan negara dalam menghadapi bahana COVID-19 ini.

Advertisement

Malah perkembangan ini turut dialu-alukan pihak Istana Negara yang merupakan pendorong kuat dalam memastikan politiking dikurangkan dan Belanjawan ini diluluskan dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis mencabar ini.

Pihak pembangkang yang sebelum ini ghairah mahu menolak dan menggagalkan Belanjawan ini demi mencetuskan krisis keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak menolaknya kecuali beberapa kerat yang angkuh yang cuba melawan arus dari PAN dan blok Tun Dr Mahathir namun turut gagal.

Hari ini ramai masih tertanya-tanya mengapa Ketua Pembangkang di saat akhir menarik ‘handbrake’ dengan mengarahkan tiada undian belah bahagi. Kononnya jika diteruskan pasti Belanjawan ini akan berjaya ditolak lantas kenapa terencat? Berbagai alasan diberikan kononnya strategi, kononnya menghormati titah Agong dan lain-lain.

Kalangan pimpinan dan penyokong PH terus marah-marah dan tidak berpuas hati, mengapa perlu tarik ‘handbrake’. Ramai yang mengecam Anwar dan Guan Eng.

Sejujurnya jika benar PH dan blok pembangkang mahu menggagalkan Belanjawan ini dan mengaibkan kerajaan mereka perlu cukup bilangan dalam Dewan Rakyat untuk berbuat demikian. Sekurang-kurangnya 111 dari 220 kerusi (2 kosong) atau ‘simple majority‘ menyokong atau bersama mereka maka gagallah Belanjawan kerajaan ini.

Lalu apa sebenarnya berlaku? Tidak, bukannya silap komunikasi dan pelbagai. Itu semua drama atau sandiwara semata-mata. Yang sebenarnya Anwar sedar beliau tidak cukup bilangan pada hari itu. Jika undi berbelah bahagi dibuat pembangkang akan gagal kerana tiada majoriti. Jika ini berlaku terdedahlah tembelang bahawa Anwar sesungguhnya tiada keupayaan menjatuhkan kerajaan ini apatah lagi untuk dinobatkan sebagai PM baru. Itu sebenarnya yang lebih logik. Ada pandangan lain?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/11/2020