Tugas menyelamat musim wabak lebih mencabar

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Tugas menyelamat mangsa banjir ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dianggap sukar dan mencabar.

- Advertisement -

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail bagaimanapun berkata, semua anggotanya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertugas sebaik mungkin.

“Kami bersedia daripada segi fizikal dan mental bagi menghadapi musim tengkujuh dan banjir dengan normal baru memandangkan negara kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Semua anggota yang bertugas mematuhi SOP dan peraturan. Saya juga meminta penduduk supaya mematuhi SOP dan keselamatan jika kawasan masing-masing dilanda banjir,” kata beliau ketika ditemui semalam.

Beliau turut meminta penduduk di tiga kampung di Rantau Panjang bersedia untuk dipindahkan kerana kemungkinan berlaku banjir ekoran hujan lebat.

Katanya, kampung terlibat termasuk Kampung Terusan, Kampung Lanchang dan Kampung Bonggor yang mempunyai kira-kira 100 rumah berisiko tenggelami air lebih awal berbanding lokasi lain.

“Ia melibatkan lebih 4,000 penduduk yang kini diminta bersiap sedia untuk dipindahkan susulan jam 12 malam semalam bacaan air paras Sungai Golok berada lebih lapan meter iaitu paras amaran,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang turut menasihati penduduk terbabit tidak melakukan sebarang aktiviti sungai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Tersang, Tajuddin Awang berkata, penduduk kampung dimaklumkan supaya menjaga SOP ditetapkan seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan.

“Langkah itu perlu dilakukan sebelum menaiki bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS),” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -