JAM anjur kempen derma darah peringkat kebangsaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia (JAM) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) akan menganjurkan satu kempen derma darah peringkat kebangsaan yang akan melibatkan semua negeri seluruh negara.

Program ini dinamakan ‘Amal Mega Blood Donation Day 2021’ (AMBD21) yang dijadualkan akan berlangsung pada pertengahan Januari tahun hadapan.

- Advertisement -

Menurut Pengarahnya, Zukri Ahmad, program ini akan dijalankan dengan mematuhi ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, katanya pemantauan rapi akan dibuat oleh Jawatankuasa Pelaksana dengan sokongan padu daripada Jabatan Amal Malaysia negeri-negeri serta entiti pemuda PAS yang lain supaya program itu berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, tengahari tadi (kelmarin) wakil Jabatan Amal Malaysia telah berkunjung ke Pusat Darah Negara bagi berbincang hal-hal yang berkaitan AMBD21. Program ini dijadualkan berlangsung pada pertengahan Januari 2021.

“Mesyuarat ini telah dipengerusikan sendiri oleh Dr. Norasrina Ishak, Pakar Perubatan Tranfusi yang juga merupakan Ketua Bahagian Perolehan Darah, Pusat Darah Negara.

“Beliau (Norasrina) sangat berbesar hati dengan inisiatif ini dan mereka juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anggota Jabatan Amal Malaysia serta orang awam yang telah menderma darah dalam kempen anjuran Jabatan Amal Malaysia peringkat negeri-negeri sebelum ini,” katanya kepada Harakah.

Dalam pada itu, Zukri berkata rekod penderma yang dicatatkan dalam siri kempen sebelum ini amat menggalakkan.

Sehubungan itu, katanya rekod baik kerjasama ini akan diteruskan lagi secara intensif pada program AMBD21 akan datang. – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -