Bila akan terungkai ‘misteri’ di sebalik pembunuhan Adib?

- Advertisement -

HARI INI telah genap dua tahun tragedi malang apabila anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada 27 November 2018. Namun, setelah kematian wira negara ini, kes yang awalnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tiba-tiba telah dinyatakan sebagai kemalangan.

- Advertisement -

Maka, satu inkues kes ini telah diadakan di mana dapat disaksikan antara aktif dilihat terlibat secara berpihak adalah Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sendiri ketika itu. Namun, akhirnya dimuktamadkan oleh Hakim Koroner bahawa kematian Adib adalah kerana dibunuh. Pun begitu sehingga kini kes dilihat seperti ditahan daripada berlangsung seperti sepatutnya.

Bagi menyatakan perkara tersebut, Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM telah mendapatkan kupasan padat daripada pihak keluarga arwah Adib sendiri termasuk Peguam, AHMAD TAUFIQ BAHARUM. Ikuti antara yang dibangkitkan Taufiq mengenai perkara ini.


Menurut Taufiq, semasa tragedi tersebut berlaku, persidangan Dewan Rakyat masih lagi berlangsung di mana peristiwa tersebut sememangnya mendapat perhatian Parlimen.

Sidang Dewan diberitahu bahawa pihak kerajaan telah menubuhkan ‘Task Force’ siasatan dan disebut bahawa Adib telah diserang oleh ‘penjenayah’ yang merusuh pada malam kejadian.

Oleh demikian kata Taufiq, dengan ditubuhkan Task Force siasatan melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu sepatutnya inkues tidak diperlukan. Malah perkara tersebut juga menghairankan banyak pihak, apatah lagi suspek kejadian telah ditangkap.

Menyusun semula rentetan peristiwa penting tragedi, beliau mengajak untuk melihat kenyataan dibuat pihak polis bahawa siasatan kes telah ditukar ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mencederakan. Pengumuman itu merujuk kepada empat individu yang ditangkap itu, setelah Adib akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Tegas Taufiq lagi, dengan penyataan PDRM tersebut semakin menjelaskan betapa inkues sememangnya tidak perlu kerana proses siasatan sedang berlaku. Oleh itu pengisytiharan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ketika itu untuk inkues diadakan adalah salah, malah Peguam Negara sendiri secara aktif mewujudkan ‘kacau ganggu’ kepada inkues.

Tommy katanya, sejak awal menyatakan bahawa Adib bukan diserang, sebaliknya cedera disebabkan kemalangan van EMRS Bomba sendiri, sekali gus cuba menunjukkan kononnya Adib bukan dibunuh. Sedangkan akhirnya Koroner memutuskan dari inkues tersebut bahawa Adib diserang melibatkan lebih daripada dua orang yang tidak dikenalpasti. Oleh demikian, perbuatan Tommy telah dihadapkan dengan tindakan komital kerana menghina mahkamah.

“Sepatutnya, Peguam Negara membantu tribunal atau Koroner bawa saksi dan bukti apa yang berlaku dalam kejadian tu. Tetapi Peguam Negara ambil pendirian lain,” ujar beliau kesal dengan perkara itu.

Taufiq turut mengimbas beberapa perkara lain yang penting diamati kritikal antaranya apabila peguam, Syazlin Mansor telah digugurkan dari mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana dikatakan tidak selari dengan kehendak ‘pihak tertentu’.

Begitu juga kemuka Taufiq, apabila media-media arus perdana seakan ‘disusun’ terutama berbahasa Inggeris memberi laporan yang dilihat hanya membawa versi daripada Tommy Thomas. Di mana arwah Adib terus menerus didakwa telah dilanggar.

Beliau juga mengimbas secara kronologi ringkas detik kejadian malang itu di mana sekitar 5,000 perusuh yang berhimpun, bertindak mengumpulkan kon dan membakar kereta, tetapi pihak keselamatan seperti tidak bertindak. Menurutnya, ketika bomba memadamkan kebakaran tersebut, kekuatan polis ada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 11 trak dengan lebih 100 anggota. Jumlah tersebut katanya, tidak termasuk polis di lapangan dan dari Cawangan Khas.

“Sebab apa? Hanya untuk standby? Dengan kekuatan macam tu tiada tindakan. Pelik, tiada tangkapan dibuat,” ujar Taufiq menyuarakan keraguannya terhadap keadaan yang berlaku itu.

Malah katanya, Ketua Polis Daerah yang bertugas ketika operasi tersebut tidak dapat dihubungi sehinggalah selepas jam 3 pagi baharulah berjaya. Perkara tersebut juga menimbulkan musykil kepada Taufiq kerana pada keadaan genting itu seorang ketua tiada di medan.

Pelbagai perkara yang disifatkannya sebagai pelik juga berlaku apabila pihak kuil cuba masuk ke dalam inkues menerusi peguam lain dan mahu menjadi antara pihak dalam prosiding.

Taufiq juga mempersoalkan representasi pihak Jabatan Peguam Negara ketika ini sama ada mempunyai pendirian sama dengan bekas Peguam Negara atau sudah ada pendirian lain setelah dibenarkan komital atas Tommy. Menurutnya, kes akan diteruskan, tetapi beliau hairan apabila Jabatan Peguam Negara sependapat dengan bekas Peguam Negara.

Tegasnya, perkara tersebut bias kerana bekas Peguam Negara mempunyai pendirian dalam isu itu dan sekarang dilihat pihak Jabatan Peguam Negara juga mengikutinya.

Selaku peguam juga, Taufiq turut menyuarakan rasa kesal kerana selepas dari inkues, pihak polis belum memanggil pihak-pihak terbabit untuk dilanjutkan siasatan. Sedangkan katanya, pihak polis menyatakan akan siasat dan memanggil pakar-pakar serta mengambil keterangan pihak terlibat.

Persoal beliau, hal ini juga pelik apabila suspek yang pada awalnya ditangkap, tetapi kemudian dilepaskan, sedangkan ianya kes bunuh. Begitu juga menurutnya, berhampiran kejadian di kuil itu adalah kawasan perumahan elit di mana tentunya terdapat CCTV untuk dijadikan antara rujukan siasatan. Selain antara yang menghairankan Taufiq apabila ‘Task Force’ yang dikatakan diwujudkan pihak polis langsung tidak dipanggil dalam prosiding inkues.

Dalam pertemuan ini, Taufiq turut diminta menceritakan keadaan dihadapi keluarga arwah Adib. Beliau membuka sisi ‘aneh’ kes ini apabila pihak berkuasa dilihat melakukan tindakan secara tidak serius. Di mana selepas kes komital terhadap pihak Tommy Thomas yang dimenanginya, pihak peguam keluarga Adib merayu pula ke Mahkamah Rayuan.

Dalam tempoh itu menurutnya, berlaku lagi kejadian mengharukan apabila bapa arwah Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pula seakan dilayan seperti orang salah, selain keterangan-keterangannya kepada pihak polis sebelum itu dikatakan hilang. Taufiq turut menyifatkan bahawa saksi pihak polis ketika itu memberi keterangan tidak munasabah, sedangkan pihak pakar membawa bukti bersama demonstrasi berdasarkan fakta tempat kejadian dan kesan.

Bagi Taufiq, kes ini akan terus berpanjangan dan sukar diselesaikan sekiranya pihak berkuasa tiada kesungguhan. Antara logik dinyatakan beliau adalah berdasarkan keputusan Koroner bahawa polis juga menyumbang dalam kematian Adib.

Oleh itu pada pandangannya, akan sukar polis mengambil tindakan terhadap pihak polis sendiri. Demikian itu, peguam ini mengharapkan adanya intervensi politik dari kerajaan untuk terus memastikan siasatan kes ini diselesaikan. – HARAKAHDAILY 27/11/2020

- Advertisement -