Belanjawan 2021: Kerajaan dengar denyut nadi rakyat

ALHAMDULILLAH telah tamat sesi penggulungan dan pengundian bagi RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat semalam dan rakyat Malaysia menjadi saksi belanjawan kali ini diluluskan dengan pindaan.

GAMIS merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan pemimpin politik yang terlibat secara aktif dan sihat dalam perbahasan Belanjawan 2021.

Advertisement

Hasil perbahasan dan sumbang saran semua pihak, kita menyaksikan beberapa penambahan pada peruntukan yang secara jelas menguntungkan rakyat khususnya melibatkan isu-isu panas seputar perbahasan berlangsung.

Kami juga menempelak tindakan Ahli Parlimen dari Shah Alam, Kuala Selangor dan Subang yang bertindak membazirkan masa Ahli Dewan dengan mengganggu ketika sesi penggulungan berlaku. Kini, sudah jelas terpamer perwatakan dan nilai sebenar oleh segelintir Ahli Parlimen yang hanya mengutamakan ‘politiking’ berbanding kebajikan rakyat.

Langkah seterusnya bagi kerajaan khususnya semestinya meneruskan momentum positif ini dengan memastikan gerak kerja dan perbincangan di peringkat jawatankuasa di setiap kementerian berjalan dengan lancar seterusnya dapat menjayakan pelaksanaan Bajet 2021 supaya apa yang dirancangkan benar-benar dirasai oleh rakyat.

GAMIS menggesa agar semua masyarakat dan para pemimpin politik khususnya terus fokus dalam melaksanakan peranan masing-masing supaya Malaysia kembali pulih daripada ketidakstabilan politik, kelembapan ekonomi dan penularan virus COVID-19. Jayalah selalu, Malaysia! 

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit” 

MOHD ZOFRIE ZULHILMIE RUSLEE, 
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2020
27 November 2020 | 12 Rabiul Akhir 1442H – HARAKAHDAILY 27/11/2020