Arak dan kehormatan Abu Bakar As-Siddiq

NASAB keturunan dan keluarga

Abu Bakar As-Siddiq atau namanya Abdullah bin Uthman bin Amir, dari keturunan Bani At-Taym, bertemu dengan nasab Baginda S.A.W pada datuk keenam iaitu Murrah bin Ka’ab. 

Tergolong dalam kalangan As-Sabiqunal Awwalun yang masuk Islam, keteguhannya bersama Islam hingga dinobatkan dengan As-Siddiq, begitu juga gelaran lain yang melambangkan kemuliaannya iaitu Al-Atiq, As-Sahib, Al-Atqa dan Al-Awwah.

Advertisement

Mempunyai 4 orang isteri iaitu Qutailah binti Abdul Uzza, Ummu Ruman binti Amir, Asma’ binti Umays dan Habibah binti Kharijah. Beliau dikurniakan 6 cahaya mata iaitu Abdul Rahman, Abdullah, Muhammad, Asma’, Aisyah dan Ummu Kalthum.

Harga diri yang tinggi

Abu Bakar sejak sebelum ke-Islamannya, amat menjaga maruah dan harga dirinya termasuklah tidak pernah meminum arak, bahkan mengharamkan arak ke atas dirinya. 

Aisyah R.A berkata: “Abu Bakar telah mengharamkan arak ke atas dirinya sendiri. Beliau tidak pernah meminumnya, baik pada zaman jahiliah apatah lagi sesudah memeluk Islam. Pada suatu hari, beliau bertemu seorang lelaki pemabuk yang meletakkan tangannya pada kotoran kemudian menciumnya. Ketika beliau mendapatkan bau busuknya, beliau menjauhkan tangannya dari hidungnya.”

Melihat yang demikian, Abu Bakar berkata “Orang ini tidak tahu apa yang beliau perbuat, ketika beliau menemukan baunya maka beliau menghindarinya”. 

Disebutkan oleh Aisyah R.A dalam riwayat yang lain bahawa, Abu Bakar dan Uthman R.A telah meninggalkan meminum arak sejak zaman jahiliah lagi.

Ketika ditanya kepada Abu Bakar “Apakah engkau dahulu meminum arak? Beliau menjawab: Aku berlindung kepada Allah. Ditanya lagi: Mengapa? Beliau menjawab: Aku menjaga diri dan kehormatanku, kerana orang yang meminum arak adalah mensia-siakan kehormatan dan harga dirinya.”

Bahkan juga diriwayatkan, Abu Bakar As-Siddiq tidak pernah menyembah berhala. 

Pengajaran

Orang yang akalnya waras, fitrahnya sihat tidak akan sesekali terjebak dengan najis arak. Akal yang waras, fitrah yang sihat pasti akan menemui kebenaran Islam.

Islam agama yang sangat memelihara aspek fitrah. Dengan fitrah yang suci, manusia sebenarnya amat dekat dengan Tuhan. Islam mengharamkan arak, sebagai kayu ukur bahawa mustahil Allah akan membenarkan perkara yang merosakkan fitrah untuk diamalkan, walaupun pada tanggapan manusia ia baik. 

Tidak hairan insan seperti beliau menjadi pendukung agama yang ampuh hingga ditabalkan sebagai Khalifah pertama dalam Islam.

RujukanAbu Bakar As-Siddiq, Kepimpinan dan Kewibawaannya oleh Dr Muhammad Ali As Solabi.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Timbalan Rektor KUIZM – HARAKAHDAILY 27/11/2020