Unit berkuda PDRM mulakan tugas rondaan sempadan

PADANG BESAR: Unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memulakan tugasan bagi membantu operasi ronda mencegah penyeludupan sempadan negara.

Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM, DSP Nurhidayah Damanhoori berkata 19 anggota dan seorang pegawai dengan kekuatan lapan ekor kuda telah mula melakukan rondaan bagi membantu Op Benteng, dengan radius rondaan melibatkan jarak 20 kilometer di kawasan yang telah ditetapkan.

Advertisement

Beliau berkata rondaan berkuda dilakukan setiap hari bermula dari pukul 9:00 pagi hingga 1:00 petang, manakala giliran kedua bermula dari pukul 2:00 petang hingga 6:00 petang, dan menurutnya lokasi penugasan unit itu bergantung kepada keadaan dan perkembangan dari semasa ke semasa.

“Kami datang awal bagi melakukan tinjauan kawasan penugasan, dan akan memastikan tugas yang diberikan dapat dilakukan dengan baik… Alhamdulillah semua kuda tidak mempunyai masalah kerana ianya kuda terlatih dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain unit berkuda, elemen PDRM lain yang turut membantu tugas rondaan sempadan Op Benteng melibatkan unit udara, kereta perisai dan Vat 69 (Komando).
 
Dalam insiden awal pagi Selasa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut. – BERNAMA