Reaksi bising di sebalik larangan jual arak DBKL

Kenapa babitkan agama?

- Advertisement -

SEDIH sungguh dengan gelagat sesetengah orang Islam yang tidak bersetuju dengan larangan penjualan arak (liquor) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Alasannya, melanggar hak asasi agama lain.

Kenapa orang Islam pula yang jadi jurucakap kepada orang kafir? Kalau benar mereka tidak bersetuju. Kenapa perlu heret isu ini ke perspektif agama? Masalah arak bukan sekadar dari sudut agama sahaja. Bahkan beri kesan kepada keselamatan dan kesihatan.

Kalau bukan kerana Islam mengharamkan arak pun, arak tetap buruk untuk masyarakat. Tiada mana-mana orang yang waras menganggap minum arak satu kebaikan. Apabila kita lihat arak secara objektif tanpa kaitkan dengan agama, tentu kita lebih rasional untuk menilai. Sama seperti pengharaman dadah.

- Advertisement -

Kerana arak, pemabuk melakukan jenayah tanpa sedar. Bahana arak, pemabuk memandu hingga mengakibatkan kemalangan nyawa. Sebab arak, antibodi melemah hingga tidak mampu melawan COVID-19.

Tanpa alasan arak haram diminum di dalam Islam pun, orang kafir juga menjadi mangsa bahaya arak. Negara bukan-Islam seperti UK dan Singapura menetapkan undang-undang ketat mengenai arak. Kenapa tak ada pula orang timbulkan mereka melanggar hak asasi agama lain?

Jika benar ada agama yang mewajibkan minum alkohol dalam ritual mereka, adakah alasan hak agama semata-mata menyebabkan kita perlu benarkan? Kalau ada agama yang amalkan ritual korban manusia, adakah kita perlu benarkan juga?

Mengheret sentimen agama dalam isu arak berbau ‘play victim’ terhadap Islam. Seolah Islam memaksa ajarannya terhadap penganut agama lain. Mengheret nama agama juga seolah mahu mendakwa pemahaman mereka terhadap agama lebih tepat. Kononnya membenarkan arak tanpa kawalan kepada bukan-Islam itu adalah ajaran Islam sebenar.

Tahniah diucapkan kepada Menteri Wilayah. Walaupun ia bukanlah larangan secara total untuk semua jenis arak, ia tetap wajar dipuji. Kita anggap sebagai langkah permulaan untuk kesinambungan yang lebih baik. Arak musuh manusia. Bukan musuh umat Islam sahaja.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -