Peruntukan ADUN pembangkang dinaik tiga kali ganda

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor akan menaikkan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang sebanyak tiga kali ganda, daripada RM50,000 kepada RM150,000 bermula tahun depan, bagi membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata elaun ketua pembangkang turut dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000, selain disediakan seorang pembantu tadbir.

- Advertisement -

Kenaikan ini adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan pembangkang yang bersifat konstruktif selain mengangkat martabat institusi wakil rakyat, kata Hasni.

Menteri Besar berkata menerusi Agenda Governans Johor, kerajaan negeri tetap beriltizam untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan urus tadbir supaya lebih cekap, berintegriti dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Transformasi Governans Johor dapat dilaksanakan menerusi pemerkasaan penjawat awam dan inisiatif pemodenan,” katanya. 
 
Beliau berkata inisiatif pertama, bagi meningkatkan kompetensi dan kapasiti penjawat awam, kerajaan negeri telah mewujudkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor. 

“Kedua, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi membuka ruang kepada penjawat awam negeri untuk memiliki kelayakan profesional dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti insinyur (Ir), surveyor (Sr) dan akauntan bertauliah (CA),” katanya. 

Beliau berkata kerajaan Johor juga akan melaksanakan kenaikan pangkat secara ‘time based‘ berasaskan kecemerlangan untuk kali kedua, yang bertujuan memberikan laluan kerjaya lebih baik kepada pegawai kumpulan pelaksana dalam perkhidmatan awam negeri.

“Keempat, kerajaan negeri juga merafak sembah takzim dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang menjadi sebuah bandar raya, berkuat kuasa pada 22 Nov 2020. 

“Pemasyhuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) ini akan meningkatkan keupayaan MBPG dalam menguruskan pembangunan pesat, melestarikan sektor ekonomi yang berteraskan industri dan pelabuhan di Pasir Gudang serta memelihara alam sekitar, selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor,” katanya. 

Menurut Hasni, kerajaan negeri Johor kini meneliti cadangan untuk menaik taraf Majlis Daerah Pontian menjadi perbandaran selain menggiatkan lagi pendigitalan tadbir urus kerajaan selari dengan Agenda Johor Digital. – BERNAMA

- Advertisement -