Penduduk di kawasan rendah perlu waspada

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Rakyat Kelantan yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air diingat sentiasa berwaspada dengan keadaan musim tengkujuh yang telah melanda sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, ibu bapa diingat sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak di musim tengkujuh.

“Antara sikap orang Kelantan terlalu ghairah bermain air banjir, apa lagi ia berlaku setahun sekali.

“Kalau boleh elak diri daripada bersuka ria ketika banjir, kerana malang tidak berbau. Bila-bila sahaja boleh mengundang bahaya,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa lemas di Kampung Telaga Bata, Sering dekat sini, hari ini.

Dua hari lepas, Muhamad Alif Asyaraf Parudin, 13, yang merupakan pelajar aliran tahfiz di Madrasah Tarbiah Islamiah Panchor dikatakan tergelincir ke dalam tali air berdekatan rumahnya di Kampung Telaga Bata, Sering di sini.

Turut hadir, isteri Mohd Amar, Datin Hasmani Hussain, dan Bendahari Skuad Kita Cakno Dun Panchor, Sharifah Abdul Rahman.

Hujan lebat turun di kebanyakan tempat di Kelantan kebelakangan ini. Malah di Kota Bharu hujan agak lebat hari ini. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -