Pelajar tingkatan enam kena tipu RM10,540

- Advertisement -

MELAKA: Seorang pelajar tingkatan enam mengalami kerugian RM10,540 selepas terpedaya kononnya seorang warganegara Amerika Syarikat yang baru dikenalinya menerusi laman sosial berminat untuk membeli wang kertas lama dan syiling lama miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata pelajar lelaki itu percaya bahawa dia ditawarkan dengan bayaran RM50,000 bagi wang kertas lama RM2 dan lima keping duit syiling satu sen miliknya, oleh suspek yang mengaku sebagai pengumpul wang lama.

- Advertisement -

Katanya selepas persetujuan dicapai, pelajar itu dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM), dan meminta dia membayar cukai atas transaksi RM50,000 kerana ia melibatkan urusniaga di luar negara.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata pelajar itu kemudiannya membuat 15 transaksi pembayaran berjumlah RM10,540 ke dalam dua akaun bank seperti yang diarahkan, dan hanya menyedari dia ditipu selepas mendapati tiada bayaran dimasukkan ke dalam akaunnya sebagaimana yang dijanjikan suspek, sebelum membuat laporan polis semalam.

Sundra Rajan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang dilihat ‘terlalu menarik’ sehingga mencurigakan. – BERNAMA

- Advertisement -