Moratorium automatik untuk B40, peniaga kecil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa lanjutan moratorium disediakan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira golongan.

Menterinya, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bantuan moratorium ini akan disalurkan dalam bentuk penangguhan, pengurangan dan penjadualan semula pinjaman.

Katanya, lanjutan moratorium bank secara automatik akan diberikan kepada golongan B40 dan peniaga kecil sahaja.

Manakala, bagi golongan M40 pula hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri tanpa perlu sebarang dokumen.

Sementara, bagi rakyat yang tidak tergolongan dalam segmen berkenaan boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing.

- Advertisement -

“Prinsip utama adalah tanggungjawab dan keadilan. Adakah adil mereka yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium.

“Bukankah baik mereka membayar hutang supaya masuk ke sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Zafrul, kerajaan akan terus memberi komitmen untuk mengadakan libat urus bersama institusi perbankan bagi memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah tercabar.

“Saya harap isu lanjutan moratorium mendapat sokongan semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -