Lembaga Pengurusan Air Johor bakal ganti BAKAJ

ISKANDAR PUTERI: Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) bakal dinaik taraf kepada Lembaga Pengurusan Air Johor sebagai usaha kerajaan negeri memperkasakan pengurusan sumber air di negeri ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga dalam proses menyediakan Enakmen Lembaga Pengurusan Air Johor.

Advertisement

“Kerajaan negeri amat komited untuk menjamin kualiti air bersih demi kelangsungan hidup rakyat Johor. Oleh itu, kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan infrastruktur pengurusan sumber air,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Hasni berkata kerajaan negeri menerusi BAKAJ juga komited untuk melaksanakan projek menaik taraf baraj Sungai Johor dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

“Projek ini akan menghalang penerobosan air masin ke loji-loji rawatan air serta meningkatkan kapasiti penyimpanan air mentah yang dilepaskan dari Empangan Linggiu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu.

Selain itu, Hasni berkata bagi meningkatkan kualiti air dan mencegah pencemaran sungai, kerajaan negeri melalui BAKAJ turut menyediakan peruntukan sejumlah RM1.7 juta untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

Antaranya, pemantauan secara fizikal dan berkala terhadap sungai-sungai membekalkan air mentah kepada loji-loji rawatan menggunakan teknologi geospatial dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dan pembinaan tiga unit sistem pemantauan dalam talian untuk memantau pencemaran dan kualiti air Sungai Skudai, Sungai Ulu Benut dan Sungai Muar dengan peruntukan RM700,000. 

Selain itu, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Projek Kebolehlaksanaan Loji Rawatan Air Pintar dan Penggunaan Sumber Air akan dilaksanakan dengan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM2 juta.

Untuk pencegahan dan kawalan banjir, beliau berkata rancangan tebatan banjir, pengorekan sungai dan muara sungai akan diteruskan dengan peruntukan RM20 juta serta peningkatan peruntukan penyelenggaraan parit dan saliran kepada RM40 juta.

Dari sudut kelestarian alam sekitar pula, sejumlah RM3.53 juta diperuntukkan untuk program kelestarian sungai-sungai di Johor  merangkumi Program 1 Daerah 1 Sungai (1D1S) dengan peruntukan RM2 juta untuk memberikan kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan kepentingan sungai serta program pemulihan Sungai Kim Kim dengan peruntukan RM500,000 dengan kerjasama empat universiti.

Selain itu, Hasni berkata kerajaan negeri juga akan membangunkan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Terjadual Bersepadu bagi menangani masalah pencemaran sisa kimia dan bahan buangan terjadual yang berpunca daripada pelupusan secara haram. – BERNAMA