Latih tenaga pakar dalam pengurusan wakaf

- Advertisement -

SEPERTI yang saya sebutkan ketika perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini, saya amat menyambut baik usaha kerajaan yang mahu mewujudkan Pelan Induk Wakaf Nasional dalam memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan. 

Dalam sesi penggulungan Belanjawan 2021 yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, beliau ada menyatakan bahawa pelan yang dirangka akan merangkumi semua aspek pembangunan bermula dari kaedah pembiayaan sehinggalah kepada pengurusan dan penjanaan dana daripada aset-aset wakaf memandangkan ia akan menjadi dokumen rujukan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan wakaf Malaysia.

YB Senator turut memberikan jaminan bahawa jawatankuasa yang ditubuhkan akan melibatkan Majlis Agama Islam Negeri dan semua pakar dalam bidang masing-masing seperti pakar akademik, pemain industri dan agensi berkepentingan wakaf yang mempunyai kepakaran dalam syarak, undang-undang percukaian serta kewangan Islam.

- Advertisement -

Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa, bagi memastikan pelan yang dirangka boleh berjalan dengan lancar, pakar-pakar bukan sahaja diperlukan di peringkat perancangan sahaja. 

Hal ini kerana, dengan kewujudan Pelan Induk Wakaf Nasional ini nanti, kita pasti memerlukan lebih ramai tenaga pakar terutamanya dalam aspek teknikal dan profesional bagi memastikan pengurusan wakaf dapat berjalan dengan lancar. 

Oleh itu, lebih ramai kakitangan dari setiap agensi perlu dilatih agar mereka mempunyai kemahiran yang secukupnya bagi menguruskan wakaf apabila Pelan Wakaf Nasional ini selesai dirangka.

Hal ini sangat penting kerana, bagi tujuan menguruskan wakaf, hukum syarak perlu difahami sejelasnya di samping pengetahuan dalam bidang perundangan, pelaburan dan pembangunan tanah. 

Dengan ini, saya mengharapkan agar agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu dimanfaatkan seoptimumnya dengan melatih seramai mungkin pihak-pihak berkepentingan yang akan terlibat dalam melaksanakan Pelan Induk Wakaf Nasional. Diharapkan dengan persiapan yang rapi, wakaf bakal menjadi agenda utama nadi ekonomi dan pembangunan negara. 

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -