Lagi tembakan di sempadan, anggota PGA cedera

- Advertisement -

ALOR SETAR: Polis Kedah tidak menolak kemungkinan bahawa individu yang melepaskan tembakan ke arah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat Bukit Kayu Hitam, petang semalam adalah anggota sindiket penyeludupan.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata walaupun siasatan masih dilakukan, pihaknya tidak menolak kemungkinan, lokasi kejadian merupakan antara laluan yang sering digunakan penyeludup.

- Advertisement -

“Laluan itu sering digunakan penyeludup dari negara jiran ke sini, dan (penyeludup) dari negara ini ke sana… tapi kita memang sentiasa ingatkan petugas di sempadan agar sentiasa dalam keadaan prihatin dan peka kerana keselamatan diri sangat penting.

“Kita tidak tahu bila akan jadi mangsa pihak yang tak seronok bila ada petugas di situ (sempadan),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan terkini anggota Batalion 3 PGA yang terbabit dalam kejadian tembakan itu, beliau berkata pihaknya belum menerima maklumat mengenainya.
 
“Kita serah kepada ketuanya sebab dia bawah PGA… tapi biasanya kalau malam tadi bertugas, hari ini (dia) akan berehat sekejap, tapi sama ada dia akan meneruskan tugas seperti biasa atau tidak saya tidak pasti,” katanya.

Dalam kejadian pada 6:15 petang semalam, anggota berusia 26 tahun itu cedera ringan (melecet di perut) selepas terkena tembakan senapang angin ketika sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan.

Hasanuddin ketika mengesahkan kejadian itu semalam berkata anggota itu memakai baju kalis peluru, namun peluru itu dikatakan terkena pada bahagian badan yang terdedah sedikit.

Dalam pada itu Hasanuddin turut meminta kerjasama semua pihak termasuk orang awam supaya bersama membantu pihak berkuasa membanteras jenayah khususnya di sempadan. – BERNAMA

- Advertisement -