GAMIS gesa Ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa semua Ahli Parlimen Malaysia menyokong Belanjawan 2021 yang akan melalui proses undian petang ini demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara.

- Advertisement -

Presidennya, Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee berkata, tindakan sebahagian ahli politik ketika ini yang masih bermain tarik tali demi survival masing-masing begitu mengecewakan.

Jelasnya, mereka seolah-olah tidak menghiraukan implikasi yang akan berlaku kepada rakyat dan negara sekiranya belanjawan kali ini tidak diluluskan.

Kata Zofrie, sekiranya Belanjawan 2021 ditolak, sebarang usaha kerajaan untuk membaikpulih sosioekonomi rakyat dan negara hampir mustahil dilaksanakan kerana tiada majoriti untuk memastikan perkara tersebut diluluskan di Dewan Rakyat.

Justeru itu kata beliau, tindakan itu sekaligus membawa kepada pilihan akhir, iaitu pembubaran Parlimen yang akan menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Katanya, kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah wajar dijadikan teladan dan ia tidak mustahil akan berulang sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, kata Zofrie, GAMIS tidak menafikan cadangan untuk menambah baik Belanjawan 2021, namun sangat ironi sekiranya belanjawan yang dirangka dengan memperuntukkan bantuan kepada rakyat itu sendiri tidak disokong untuk diluluskan.

“Perbezaan pandangan dalam beberapa butiran dalam belanjawan tidak menjadikan perkara tersebut ligitimasi untuk menolak atau mensabotaj terus peruntukan yang rakyat sangat perlukan pada masa ini.

“Perlu difikirkan dan ditanam dalam minda semua ahli politik dan pemimpin negara, bahawa negara kita dalam keadaan tidak stabil dari sudut ekonomi dan masih berada dalam fasa pemulihan, ratusan ribu rakyat terjejas pendapatan dan telah kehilangan kerja.

“Rakyat tidak boleh terbeban dengan ketidakstabilan politik yang mungkin tercetus dalam keadaan genting sekarang.

“Yang patut menjadi keutamaan buat semua ahli politik pada masa ini adalah bekerjasama berbincang untuk menghasilkan Belanjawan 2021 yang benar-benar menjulang kebajikan rakyat, bukan berjuang demi kuasa atau untuk menegakkan ego masing-masing,” jelasnya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambah beliau, ahli-ahli politik perlu bersabar dan menunggu pandemik Covid-19 reda sebelum masing-masing bertindak agresif menyebarkan permainan politik mereka.

“Apakah para politikus beranggapan rakyat tidak memerhatikan perbuatan kalian? Adakah kalian semua telah lupa akan titah mega YDPA?” soalnya.

Oleh itu, beliau mewakili GAMIS menyeru dan menggesa semua Ahli Parlimen yang akan mengundi, menyokong Belanjawan 2021. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -