Belanjawan 2021 lulus bukti rakyat diutamakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sokongan kepada Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar hari ini membuktikan kematangan ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, mendahului perkara-perkara lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri  berkata sokongan terhadap belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun depan dengan teratur dan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telahpun diluluskan Dewan Rakyat hari ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen, terutamanya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Belanjawan pertama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November dan seramai 82 Ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata pendirian ahli Parlimen berkenaan membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan ahli politik mengetepikan sementara politiking agar belanjawan diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan COVID-19. 

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Zafrul dan Kementerian Kewangan yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.  

“Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” katanya.
 
Tegasnya Kerajaan PN sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. 

Katanya ini membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu memulih serta menjana semula  ekonomi negara yang terkesan teruk oleh pandemik COVID-19.  

“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

- Advertisement -