2,287 kertas siasatan dibuka libatkan penjawat awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,287 kertas siasatan telah dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan mengenai kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sepanjang tempoh 2016 sehingga September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

- Advertisement -

“Sesungguhnya kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah telah dilaksanakan sebagai pencetus usaha-usaha pencegahan rasuah.

“Sebagai contoh setiap agensi perlu tools (pemudah cara) seperti Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Antirasuah dalam usaha mengekang perlakuan rasuah,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta kerajaan menjelaskan statistik salah laku rasuah dari kalangan kakitangan kerajaan dan langkah-langkah pencegahan yang sedang dilakukan.

Menurut Takiyuddin, sebanyak 139 buah agensi CRM dan 40 buah daripada agensi OACP telah melaksanakan libat urus dengan pihak SPRM.

“Kerajaan turut mengambil inisiatif untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Perkara ini adalah selaras dengan inisiatif 2.4.7 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran,” ujarnya.

Takiyuddin ketika menjawab soalan tambahan Abdullah Sani berkata, tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak SPRM tidak mengira latar belakang, sama ada orang awam, pegawai kerajaan malah pemimpin politik juga boleh diambil tindakan sama. – HARAKAHDAILY 26/11/2020

- Advertisement -