Waspada bahaya elektrik ketika banjir – ST

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko banjir supaya mengambil langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca daripada elektrik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata sebelum banjir, orang ramai perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’. 

Advertisement

“Pastikan semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik serta simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” katanya.

Semasa banjir pula, orang ramai perlu mengelak daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas.

Selain itu, ST berkata orang ramai juga perlu menjauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.
 
Selepas banjir, katanya orang ramai diminta berhati-hati kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya kerana ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitaran dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Orang ramai  perlu memastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan semula dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya, katanya.

Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST. – BERNAMA