RM90,000 disumbangkan kepada PPSR Perak

- Advertisement -

IPOH: Sejumlah RM90,000 disumbangkan kepada Pertubuhan Pendukung Sekolah-sekolah Agama Rakyat (PPSR) Negeri Perak bagi pengurusan institusi-institusi pendidikan agama di bawah kendaliannya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, institusi terbabit termasuk Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Sepenuh Masa, Kelas Agama Fardhu Ain dan Pengajian Pondok.

“PPSR wajar diberi perhatian dan sokongan demi kelangsungan institusi-institusi pendidikan agama yang diuruskan secara sukarela.

- Advertisement -

“Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap institusi ini, ia tidak boleh dibiarkan tanpa sokongan kuat daripada pihak kerajaan dan in sya Allah kita akan terus membantu sekadar termampu,” ujarnya.

Tegasnya, sumbangan tersebut adalah bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengajaran institusi terbabit.

Dalam pada itu, Presiden PPSR, Agus Lukman Sulam berkata, ini kali pertama pihaknya menerima sumbangan dengan jumlah yang besar bagi gerak kerja pertubuhan itu.

“Ini kali pertama PPSR terima sumbangan dengan jumlah yang tinggi dalam satu-satu masa dan kita akan pastikan sumbangan tersebut dapat disalurkan kepada pemantapan pengurusan institusi di yang diselia,” tambah beliau.

Ditubuhkan sejak 1995, PPSR Negeri Perak menjadi penghubung di antara institusi-institusi pendidikan agama dengan kerajaan negeri dan bergerak secara sukarela. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -