Politik mencatur atau dicatur?

- Advertisement -

BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila ADUN Hulu Kelang, Saari Sungip mengumumkan kesediaannya untuk menyertai PKR dari PAN jika dipilih sebagai calon Parlimen Gombak bagi menentang Azmin Ali. Ia bukan sesuatu yang pelik berbanding apa yang berlaku di Sabak dan Meru, apabila dua bekas ADUN PAN itu menyertai PKR. Keadaan mereka berbeza sama sekali.

Bagi orang baru dalam politik, mereka menyangka ia adalah perpindahan biasa atau hanya sekadar lompat parti. Mungkin ada yang berfikir bahawa Saari Sungip mempunyai kepentingan politik tertentu. Mungkin juga ada yang menjangkakan ia adalah satu strategi PH di dalam menguasai kerusi Parlimen Gombak, kerana mereka keluar dari satu parti komponen PH dan menyertai parti lain dalam PH juga. Atau mungkin ada yang mengatakan pemimpin PAN sudah ‘gila babi’ kerana hilang percaya kepada parti sendiri, dan pasti ramai melihat bahawa PAN sudah nazak sekarang.

Tetapi bagi orang yang mengetahui sejarah gerakan Islam di Malaysia ataupun mengenali secara dekat Saari Sungip, hal ini bukanlah sesuatu yang aneh. Saari Sungip sendiri semenjak aktif dalam politik kepartian pada 1998, pada awalnya adalah ahli PKN (nama lama PKR) sejak 1999. Sebelum itu, sebagai Presiden JIM, dia menganggotai Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang dipimpin oleh Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor sejak September 1998. Ketika menjadi Ahli Majlis Tertinggi PKN, dia meninggalkan parti Anwar Ibrahim itu selepas PRU 2014 dan menyertai PAS. Melalui tiket PAS, dia menjadi ADUN Hulu Kelang sejak 2008. Tetapi pada 2015, dia meninggalkan PAS dan menubuhkan PAN bersama kumpulan pemimpin PAS yang kalah pemilihan di Kuala Selangor. Hari ini dia merancang untuk kembali bersama PKR.

- Advertisement -

Saari Sungip adalah tokoh IRC yang bergerak sejak 1975 di UK. Kemudian bergerak secara ‘bawah tanah’ di Malaysia. Beliau memakai nama samaran ‘Abu Urwah’ dan menyertai PAS sekitar 1984, setelah IRC gagal menguasai ABIM. Dia duduk dalam Lajnah Tarbiyah PAS Pusat dan diketahui terlibat dalam gerakan bawah tanah untuk menculik anak-anak tarbiyah PAS untuk ‘di-IRC-kan’. Kewujudan Tamrin Kota Bharu 1.0 adalah sebahagian daripada gerakan bawah tanah mereka. Apabila PAS mengambil tindakan ke atas kelompok mereka pada 1988, geng IRC ini telah memunculkan wasilah mereka, Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang Saari Sungip atau Abu Urwah menjadi Presidennya sejak 1992.

Pada 1992 juga, IRC telah membuat percaturan politik untuk melakukan infiltrasi ke atas Umno dan sebuah kertas mengenai pendekatan mereka ke atas Umno telah dibincangkan. Setelah Anwar Ibrahim terkeluar dari Umno pada 1998, geng IRC mendukung Anwar melalui Gerakan Keadilan Sosial (ADIL), selain terlibat dalam GERAK dan Gagasan yang dipimpin Tian Chua. Selepas PRU 1999, dalam satu persidangan tahunan PKN di Kemaman pada 2001, satu gerakan dibuat oleh IRC untuk menyingkirkan pengaruh ABIM di dalam parti itu dan mereka berjaya mengalahkan tokoh-tokoh ABIM. Tetapi apabila prestasi PKN merosot dalam PRU 2004, sebahagian mereka meninggalkan PKN dan menyertai PAS.

Antara sebab PAS mengalami krisis organisasi dan kepemimpinan sejak 2005 hingga 2015 ini ialah kerana percaturan dan penguasaan geng IRC ke atas tempat-tempat strategik dalam PAS. Mereka menguasai Harakah, Dewan Muslimat, PPP, Jabatan Pilihanraya dan sebagainya. Setelah berlaku pertembungan apabila secara terbuka, mereka mula menyerang kepemimpinan ulamak PAS dan cuba menaja pemimpin tertentu bagi menguasai pos-pos penting dalam PAS. Mereka juga bertindak menyokong Anwar Ibrahim dan membelakangkan Presiden PAS dalam hal-hal dasar dan strategi parti. Mereka telah menolak gagasan Kerajaan Perpaduan (UG) yang dicadangkan oleh TGHH, tetapi mendukung Kerajaan 16 September Anwar Ibrahim. Kemuncaknya, PAS berpecah pada 2015.

Seluruh pergolakan politik di dalam parti-parti PAS, Umno dan PKR serta ABIM adalah bertolak dari percaturan politik bawah tanah IRC. Pada 1977, mereka telah memperkenalkan satu konsep yang disebut sebagai ‘Harakah Islamiyah Syumuliyah’ atau Gerakan Islam Tunggak. Iaitu, IRC berfungsi sebagai gerakan tunggak dan mengambil strategi menyelusup (infiltrasi) ke dalam parti-parti lain dan menguasai pimpinan mereka. Mereka cuba menjadikan parti-parti lain sebagai ‘wujuhul jamaah’ atau wajah-wajah (frontliner) jamaah mereka, iaitu IRC. Kerana pendekatan inilah, IRC menghantar orang-orangnya menyertai pelbagai parti untuk membolehkan mereka menguasainya.

Maka tidak pelik apabila Saari Sungip yang pernah menjadi ahli PAS, kemudian berbaik (mungkin menjadi ahli) dengan Umno. Setelah itu bersama PAS dalam GERAK dan menyertai PKN. Setelah itu, tinggalkan PKN dan masuk PAS. Apabila gagal mencapai sasaran, tinggalkan PAS dan tubuhkan PAN. Sekarang dia mahu kembali kepada PKR. Sebenarnya banyak lagi pergerakan sulit yang saya tidak dapat rakamkan di sini, tetapi saya mempunyai maklumat mengenai hal tersebut. Bahkan, mungkin ada pimpinan PAS yang masih ingat mengenai projek ‘Ummah Centric’ yang digerakkan oleh Saari Sungip di dalam PAS satu ketika dahulu untuk mengelirukan kader-kader PAS mengenai konsep jamaah.

Jadi, di sini kita dapat melihat dengan jelas mengenai pergerakan dan percaturan politik IRC dan Saari Sungip. Ada pemerhati politik yang mentah menyangka bahawa Saari Sungip sedia dicaturkan oleh PH ke mana hendak bertanding dan parti apa yang dia boleh wakili. Tetapi bagi pemerhati politik yang mengetahui gerajan-gerakan politik sulitnya, awal-awal sudah boleh membaca, apakah dia sedang dicatur atau dia sedang mencatur? Adakah dia menyerahkan diri untuk dicatur oleh PH atau dia sebenarnya buah catur IRC yang sedang digerakkan untuk menguasai politik Malaysia?

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -