Kukuhkan kerjasama parti Melayu Islam – Dr Samsuri

MB Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak, rakan parti PAS, Umno dan Bersatu perkukuhkan kerjasama politik Melayu Islam.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) adalah hasil dukungan tiga parti Melayu Islam utama di negara ini.

Katanya, tiga parti Melayu Islam itu ialah PAS, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu, di samping parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, tahun 2020 menyaksikan sejarah baharu politik negara apabila kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentuk.

“Semua mengakui bahawa pembentukan kerajaan baharu ini adalah hasil dukungan daripada tiga parti Melayu Islam iaitu PAS, Umno dan PPBM di samping parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Penyatuan parti-parti Melayu Islam ini dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) amat besar maknanya kepada rakyat dan negara Malaysia.

“Ini setelah melalui fasa pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Bahkan lebih manis lagi, ianya telah menamatkan perbalahan dan persengketaan lama serta panjang dalam keluarga besar rumpun Melayu Islam,” ujarnya.

Pengerusi Permint Granite Sdn Bhd, Che Ghani Che Ambak (dua kanan) menyerahkan cek RM1 juta untuk Tabung Banjir Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Samsuri mahukan agar ketiga-tiga parti terus mengukuhkan kerjasama politik Melayu Islam yang dibina ini.

“Oleh kerana itu, kerjasama dan dukungan dalam kerajaan Perikatan Nasional ini mestilah kita berikan sepenuh hati.

“Inilah peluang untuk kita mengorak langkah dalam membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat kita.

“Usahlah kita mengambil langkah ke belakang, namun teruslah pandang ke hadapan dengan mengukuhkan pendirian kerjasama politik Melayu Islam yang kita bina ini,” tegasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menjelaskan, pastinya akan ada perbezaan atau perselisihan pandangan, namun uruslah ia berpandukan falsafah orang tua-tua.

Kalau digali tanah berbingkah, tanah berderai yang akan bertemu. Yang bererti, jika berlaku perselisihan dalam keluarga usahlah dicari siapa yang benar dan siapa yang salah tetapi carilah jalan untuk menyelesaikannya dengan baik.

“Ibarat peribahasa, mengebat sekebat erat, melangkah selangkah sampai, berkata sepatah sedang,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau dalam masa sama negara ini turut mengalami pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia.

“Terengganu juga tidak terlepas, namun, Alhamdulillah, situasi semasa memperlihatkan penularan pandemik di negeri kita (Terengganu) masih terkawal.

“Kita (kerajaan) mengharapkan kerjasama daripada semua pihak, bermula daripada rakyat, barisan hadapan (frontliners), ahli politik dan kepimpinan kerajaan untuk sama-sama kita menamatkan penularan virus Covid-19 ini. Teguh kita, menang bersama!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -