Kelantan perluas info SOP ketika PKPB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap sistem penyampaian maklumat mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperluas.

- Advertisement -

Menteri Besarnya, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, masih ada segelintir rakyat yang tidak memahami peraturan ditetapkan kerajaan bagi menyekat penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri mempertingkatkan usaha bagi mengawal dan melaksanakan tindakan yang lebih tegas selepas menyaksikan jumlah peningkatan Covid-19 kepada 97 kes.

“Peningkatan itu menyebabkan kita perlu mempertingkatkan usaha untuk mengawal pergerakan dengan lebih tegas lagi bagi menyekat penularan wabak.

“Contohnya menambah baik dari segi maklumat supaya ia sampai kepada rakyat, kadang-kadang ada yang tidak tahu apa itu PKPB serta memahami bahaya wabak Covid-19,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau turut mengumumkan operasi premis kedai makan, stesen minyak dan sebagainya hanya dibenar beroperasi sehingga jam 11.30 malam. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -