Kedah jelas fakta pembelian kereta Honda Accord

PEMBELIAN kereta ini adalah merupakan keputusan Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar (MB) terdahulu. Ia bukan keputusan yang dibuat zaman MB sekarang. Ingat fakta ini. 

Kereta yang dibeli ini adalah untuk kegunaan ketua-ketua jabatan kerajaan, bukan untuk kegunaan Exco Kerajaan Negeri seperti yang didakwa. Exco Kerajaan Negeri kekal menggunakan kenderaan sedia ada yang dibeli ketika zaman MB terdahulu. Ada video gambar kereta Camry yang tular, itu video lama semasa Camry mula-mula dibeli dulu.

Pembelian kereta berkenaan dirancang dibeli pada awal tahun 2020, tetapi tertangguh disebabkan PKP dan beberapa sebab teknikal yang berkaitan PKP. Pembelian hanya dapat dibuat pada waktu ini ketika zaman MB sekarang. MB dulu yang beli, MB sekarang yang dapat nama. Terima kasih.

Advertisement

Kenderaan yang dibeli ialah 12 unit Honda Accord 1.5 TC berwarna hitam dan 11 unit Toyota Hilux 2.5 berwarna hitam. Video fitnah yang tular hanya ada gambar Honda Accord. Video fitnah kereta Hilux belum ada orang buat lagi. Kalau nak buat video, nanti kita bagi tahu bila Hilux itu sampai. 

Harga yang dibeli secara pukal adalah lebih rendah berbanding harga pasaran. Servis kenderaan secara percuma selama 5 tahun diberikan oleh syarikat penjual sebagai pakej istimewa terhadap pembelian pukal. Ini bermakna tiada kos penyelenggaraan servis untuk kesemua kenderaan ini selama 5 tahun. Duit kerajaan jimat. Boleh buat belanja bayar hutang-hutang zaman hangpa dulu.

Ada pegawai yang dah pencen, tapi mohon untuk beli kenderaan rasminya yang pernah dia guna masa berkhidmat dulu. Pegawai itu ialah Pengarah Tanah dan Galian dan Pengarah Jabatan Agama Islam. Jadi, dua jabatan ini tiada kenderaan rasmi. Dua jabatan ini dapat kenderaan baru.

Ada Pegawai Daerah (DO) yang guna Proton Perdana model tahun 2004. Kereta dah usia 16 tahun. Kos nak selenggara kereta-kereta ini dah melebihi 100 peratus harga kereta itu sendiri. Kereta itu dah dilupuskan. DO yang guna Perdana tahun 2004 itu ialah DO Kota Setar, DO Kuala Muda, DO Kubang Pasu dan DO Pokok Sena. Semua DO ini dapat kereta baru.

Ada kenderaan jabatan yang sudah berusia 10 tahun, kos penyelenggaraannya tinggi, tidak ekonomik dan tidak dapat digunakan untuk perjalanan jauh. Kenderaan ini ialah kenderaan di Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, dan Jabatan Kemasyarakatan Negeri. 3 jabatan ini pun dapat kenderaan baru.

Untuk kenderaan Hilux 2.4 Auto Transmission warna hitam itu pula, dibeli untuk kegunaan operasi dan perkhidmatan kepada rakyat ketika bencana, kerja-kerja pembinaan jalan kawasan kampung serta operasi rutin jabatan. Pejabat atau jabatan yang dapat Hilux ini ialah Pejabat Daerah Kota Setar, Pejabat Daerah Baling, Pejabat Daerah Sik dan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. 

Ada jabatan yang tiada kenderaan rasmi untuk kegunaan jabatan. Pegawai di jabatan-jabatan ini terpaksa guna kenderaan sendiri untuk urusan rasmi. Jabatan-jabatan berkenaan ialah Pejabat Pertanian Daerah Sik, Pejabat Pertanian Daerah Yan, Pejabat Pertanian Daerah Langkawi, Pejabat Veterinar Daerah Langkawi, Pejabat Veterinar Daerah Kulim, Pejabat Veterinar Daerah Bandar Bharu dan Pejabat Veterinar Daerah Langkawi. Semua jabatan ini dapat Hilux baru. 

Semua kenderaan ini dibeli supaya kerajaan dapat beri perkhidmatan yang baik dan cepat kepada rakyat. Pegawai-pegawai ini banyak kena jumpa rakyat di merata tempat. Urusan depa jadi mudah, masalah rakyat dapat selesai. Semua dapat manfaat.

Bagi yang masih tak percaya, boleh pergi bawa kamera dan ambil video di semua pejabat dan jabatan yang dah disenaraikan di atas tadi. Habaq kata nak ambil video untuk buat fitnah. Tak apa. Sementara hidup ini, buatlah fitnah lagi. Lepas mati nanti dah tak boleh fitnah. 

(Sumber: Sidang Media YAB Menteri Besar Kedah, 25 November 2020 di Wisma Darul Aman)

Catatan:
AFNAN HAMIMI
Wisma Darul Aman – HARAKAHDAILY 25/11/2020