Jeffrey Kitingan ada pelepasan, kekecohan terjawab

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah diberi pelepasan daripada menjalani pengawasan dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jeffrey yang juga ahli Parlimen Keningau berkata surat pelepasan bertarikh kelmarin (23 November), ditandatangani pegawai kesihatan dari Jabatan Kesihatan Lembah Pantai.

“Mana-mana individu yang dikuarantin boleh meminta pelepasan lebih awal, bergantung kepada persetujuan daripada Kementerian Kesihatan dan setelah menjalani pemeriksaan kesihatan diperlukan.

- Advertisement -

“Oleh itu, tidak timbul masalah ketidakpatuhan dan isu berat sebelah kerana pelepasan awal itu tidak bersifat politik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kehadiran Jeffrey di dalam dewan selepas beliau didakwa belum menghabiskan tempoh kuarantin wajib 14 hari sejak tiba dari Sabah.

Persidangan kecoh apabila Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) mendakwa Jeffrey Kitingan yang berada di dalam dewan, tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Sabah. 

Mohd Azis mendakwa Jeffrey menghadiri Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 November dan berada di Parlimen semalam.

“Saya duduk Kuala Lumpur hampir dua bulan, saya tidak jumpa anak dan isteri sebab kalau balik ke sana kami perlu dikuarantin 14 hari. Kalau kira mengikut hari, Keningau (Jeffrey) tidak sepatutnya berada di dalam dewan ini.

“Kami (ahli Parlimen) dari Sabah akur dengan arahan Yang Dipertua (Dewan Rakyat) berkenaan peraturan mesyuarat, di Semenanjung kita kena kuarantin 14 hari,” katanya.

Bagi meredakan keadaan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan Jeffrey telah ‘dilepaskan’ dan gelang tangan kuarantinnya dipotong di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai pada 23 November selepas keputusan ujian saringan COVID-19 beliau negatif.
 
Berkenaan tempoh kuarantin yang didakwa tidak cukup 14 hari, Azhar berkata beliau akan merujuk perkara itu  kepada PKD Lembah Pantai bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya telah minta Keningau (Jeffrey) tidak hadir dari tadi,” katanya.

Kekecohan itu bermula ketika Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said mengendalikan sesi penggulungan hari kedua hari ini apabila Mohd Azis membangkitkan perkara tersebut, diikuti beberapa ahli Parlimen blok pembangkang yang bangun menyuarakan pandangan masing-masing.

Antaranya Teo Nie Ching (PH-Kulai), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

“Saya dapat jawapan rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat. Kalau Yang Berhormat tidak puas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Parlimen dan ‘order released’ daripada Kementerian Kesihatan, (Yang Berhormat)  boleh bawa kepada Speaker,” kata Azalina.
 
Menurut surat pelepasan itu, Jeffrey dikehendaki menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah bermula 12 hingga 25 November, namun dilepaskan daripada perintah kuarantin itu dua hari sebelum tarikh tamat tempoh selepas didapati keadaan kesihatannya memuaskan. 

Jeffrey berkata keputusan dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang telah menjalankan beberapa ujian calitan dan ujian darah sejak beliau tiba di Kuala Lumpur pada 12 November lepas.

Beliau juga menafikan dakwaan yang dirinya masih berada di Sabah pada 13 November dan tuduhan itu disifatkannya sebagai berniat jahat dan fitnah bertujuan merosakkan reputasi dan karakternya. – BERNAMA

- Advertisement -