Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa

- Advertisement -

KEGANASAN rumah tangga merupakan jenayah yang tidak asing lagi di Malaysia yang mana sebahagian besar dari mangsanya adalah terdiri dari kalangan wanita. Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, sebanyak 3,080 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan pada 18 Mac yang lalu sehinggalah 31 Oktober lalu. Bulan Mac menunjukkan 361 panggilan dan April (898) berbanding Januari (266) dan Februari (250). 

SIGMA memandang serius akan jumlah peningkatan kes keganasan rumah tangga yang naik mendadak ini. Hal ini bukan sahaja melibatkan jenayah seksual, malah termasuk juga penderaan mental dan fizikal. Adalah menjadi tanggungjawab berat bagi lelaki dalam mendidik dan membimbing wanita namun bimbingan yang diberikan terhadap wanita hendaklah secara toleransi dan bukannya secara kekasaran dan keganasan. 

- Advertisement -

Rasulullah S.A.W melalui Hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda: 

“Berwasiatlah untuk para wanita itu diciptakan dari tulang rusuk yang paling bengkok bahagian atasnya. Jika engkau ingin meluruskan tulang rusuk tersebut maka engkau akan mematahnya, dan jika engkau membiarkannya maka ia akan tetap bengkok, maka berwasiatlah untuk para wanita.”

(Hadis Riwayat Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Andai teguran tidak mencapai matlamat, pasangan hendaklah mendapatkan advokasi atau khidmat kauseling di Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Malah kini anda boleh mendapatkan nasihat di rumah sahaja secara atas talian. Bukannya dengan paksaan dan perasaan. 

SIGMA meyokong penuh komitmen tinggi Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama PDRM dalam menangani kes keganasan rumah tangga dengan menyediakan advokasi berterusan dan agresif untuk mendidik masyarakat, ibu bapa dan keluarga berkaitan peranan mereka terhadap isu KRT.

Justeru, bersempena dengan Hari Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita peringkat Antarabangsa, SIGMA menyeru kepada orang ramai sama ada lelaki mahupun perempuan, ayuhlah kita bersama-sama membanteras kezaliman ini dengan bertindak tampil dan lapor kepada pihak berkuasa. Hubungilah Talian Kasih di talian 15999PDRM 999 atau talian 0192615999 untuk tindakan segera. Teguh kita, menang bersama.

SITI HAJAR MISLAN
Pengerusi SIGMA 2020 – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -