BN sokong penuh kepimpinan Muhyiddin selaku PM

PH Plus gagal lagi untuk lihat perpecahan berlaku dalam MN dan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan pelan pemulihan ekonomi dan kesihatan rakyat. 

Dalam satu kenyataan bersama oleh 20 anggota pentadbiran kerajaan itu, mereka menyifatkan negara memerlukan sebuah pentadbiran kerajaan yang stabil bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksana  secara teratur dan tersusun ekoran pandemik COVID-19.

“Langkah pertama dalam membolehkan perkara ini dapat dicapai adalah dengan memastikan Belanjawan 2021 disokong dan diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

“Ini juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut anggota pentadbiran daripada BN mengambil maklum cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh semua Ahli Parlimen BN berkenaan Belanjawan 2021 dan akan diambil kira untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa.
 
“Berdasarkan perkara yang dinyatakan ini, kami percaya rakan-rakan Ahli Parlimen BN yang lain akan turut serta memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan perancangan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, mereka berpendapat Pilihan Raya Umum perlu diadakan secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatan awam mengizinkan untuk memperoleh mandat rakyat yang jelas bagi memastikan kestabilan kerajaan yang lebih jitu.

“Sehingga itu, kami telah bersepakat untuk mengukuhkan kedudukan BN di dalam kerajaan sedia ada dan pada masa yang sama akan menyusun gerak kerja bagi memastikan BN menjadi suara terkuat di dalam kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, satu mesyuarat telah diadakan bersama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin yang memutuskan supaya ahli jemaah menteri dari BN mengadakan perjumpaan serta bermesyuarat secara lebih kerap.

Ini bagi mendapatkan panduan berkenaan pendirian dan dasar parti BN untuk disampaikan kepada jemaah menteri, kata kenyataan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan ketika dihubungi mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan bersama itu. – BERNAMA

- Advertisement -