Bersama kita mendukung Belanjawan 2021

- Advertisement -

ADAKAH Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal bertahan selepas hari Khamis 26 haribulan November ini terus menjadi tanda tanya dan spekulasi pelbagai pihak.

Ia menjadi panas kerana pada hari tersebut undian di peringkat dasar dijadualkan berlangsung. Bermakna pada hari berkenaan 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat (2 kosong) akan mengundi sama ada menyokong atau menolak Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan PN pada 6 November lalu.

Hakikatnya Kerajaan PN berdiri atas sokongan 112 ahli dari pelbagai parti manakala pihak pembangkang punya 108 ahli. Jika angka ini tidak berubah pada 26 November, Belanjawan 2021 akan diluluskan di peringkat dasar sekali gus menjadi bukti keupayaan Kerajaan PN berdiri dengan sokongan majoriti. Kelulusannya adalah undi percaya terbesar buat Muhyiddin dan Kerajaan PN.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun kiranya ada mana-mana ahli dari PN atas apa sahaja sebab memilih untuk mengalih sokongan sehingga merubah kekuatan PN di Dewan Rakyat, Belanjawan 2021 akan tertolak dan dengan itu status PN sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan sudah luput.

Namun jika semua 112 pertahankan Belanjawan 2021 segalanya akan berjalan lancar dan urusan kerajaan akan kekal normal malah tidak mustahil kalangan dari bangku pembangkang pula akan memilih sama ada berkecuali atau menyokong belanjawan ini, sama-sama kita ikuti. Soalnya adakah yang dari bangku kerajaan yang akan bertindak menggagalkan belanjawan ini?

Ramai yang membuat spekulasi sedemikian apabila melihat wakil-wakil BN yang berucap semasa sesi perbahasan kebanyakannya menyokong belanjawan ini dengan bersyarat. Dua syarat digariskan dalam ucapan bekas PM Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pertama bahawa moratorium pinjaman dilanjutkan secara automatik sehingga Jun 2021 dan keduanya para pencarum KWSP dibenarkan membuat pengeluaran berjumlah RM10,000 dari Akaun 1 masing-masing. 

Memang diakui dan bukan rahsia lagi bahawa Kerajaan PN merupakan sebuah pakatan yang longgar. Ia terbina apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM yang mengakibatkan kerajaan 22 bulan PH roboh.

Atas robohan tersebut parti-parti utama iaitu PBBM, BN dan PAS selain parti-parti lain di Borneo diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan baru lantas terbinalah Kerajaan PN sedangkan ketika itu tiada ikatan formal melainkan hanya antara PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Oleh itu memberikan sokongan bersyarat sebenarnya bukanlah sesuatu yang ganjil, malah cadangan yang munasabah dengan alasan yang konkrit dan mendesak boleh sahaja diambil-kira dan diterima kerajaan lantas terjaminlah sokongan majoriti yang bakal mengundi menyokong belanjawan ini.

Saya berpandangan kedua-dua syarat BN itu bukanlah sesuatu yang terlalu berat malah mengambil-kira desakan akar umbi yang terbeban dengan kesan pandemik COVID-19 ini, kerajaan akan dilihat akur dan mendengar tuntutan rakyat, sesuatu yang positif sebenarnya untuk kelangsungan kerajaan.

Adu-domba dan serangan halus pihak musuh politik jangan sampai mencetuskan kerenggangan dan perpecahan kerajaan yang rapuh ini. PH khasnya memang menunggu masa kerajaan ini bermasalah dan akhirnya roboh sebagaimana mereka. 

Justeru kesungguhan dan komitmen untuk membela dan mempertahankan maruah rakyat dan negara perlu diutamakan dan pergeseran dalaman yang merugikan semua pihak sewajarnya dihindarkan.

Kerajaan yang rapuh dengan ikatan yang longgar ini walau bagaimanapun telah berjaya menyingkirkan Kerajaan PH yang didominasi DAP. Keluh-kesah rakyat khususnya umat Melayu Islam terubat apabila PN bangkit menggantikan PH di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diikuti dengan beberapa buah negeri lain.

Walaupun banyak perbezaan antara parti-parti dalam kerajaan ini, pencapaian terbesarnya adalah merobohkan kerajaan terdahulu yang telah memperdaya rakyat dengan janji-janji kosong dan kuat menguji kesabaran mereka.

Sesungguhnya isyarat kemenangan beberapa siri Pilihan Raya Kecil selain kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah adalah bukti sokongan padu rakyat jelata terhadap kerajaan baru ini yang berjaya mengekang kemaraan DAP dengan agenda ‘Malaysian Malaysia’-nya.

Lalu PBBM, BN dan PAS khususnya perlu sentiasa berwaspada kerana kiranya kita gagal bersatu dan bersama mempertahankan kerajaan ini, kita berpecah bersengketa sesama sendiri sebagaimana pra PRU ke-14 lalu, maka kita pasti menempah kegagalan dan malangnya atas kegagalan itu kita akan membuka ruang dan peluang untuk PH khasnya DAP kembali berkuasa di bumi tercinta ini.

Belanjawan ini sewajarnya diluluskan kerana itu keutamaan buat negara bagi menghadapi pandemik COVID-19, itulah titah Yang di-Pertuan Agong. Tuanku mahukan pemimpin-pemimpin parti kurangkan berpolitik dan berikan fokus pada menyelamat dan memulihkan negara.

Saya yakin titah Tuanku ini sudah sedia tertanam dalam benak kepala Ahli-ahli Parlimen kita yang bijaksana tidak kiralah dari mana parti sekalipun, berbalah dan menolak belanjawan yang disusun untuk membela nasib rakyat ini akan dilihat sebagai membelakang dan mencabar titah Tuanku yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam urusan politik selain meletakkan keprihatinan pada negara dan rakyat Baginda. Apa pun yang utama parti-parti yang mendukung kerajaan sewajarnya ke hadapan dalam membela dan mempertahankan nasib rakyat dan masa depan negara. 

Kita boleh memberi teguran, cadangan balas dan saranan tetapi jangan sampai kita menggagalkan Belanjawan 2021 ini sehingga kerajaan yang didukung rakyat ini rebah dan kita khasnya umat Melayu bakal memikul kedukaan dan kekecewaan sepanjang hayat.

Gagal belanjawan ini bukan bermakna Parlimen terbubar. Sebaliknya gagal belanjawan ini akan mengakibatkan keyakinan Yang di-Pertuan Agong terhadap kita susut dan hilang manakala rakyat yang paling kecewa.

Tuanku tidak semestinya bersetuju membubarkan Parlimen. Jangan kita memaksa Istana menggunakan opsyen memberi peluang kepada musuh politik kita membentuk kerajaan baru, ketika itu semua pihak akan sesal dan menggigit jari. 

Bertindaklah dengan matang, bermuafakatlah dengan bijak dan berlapang dada. Rakyat mahu Belanjawan 2021 lulus, dan kerajaan yang mereka yakini ini kekal memimpin dan membawa mereka keluar dari ujian besar yang sedang kita tanggung bersama. Demi agama dan kesetiaan kepada Raja dan negara, terimalah belanjawan ini. 

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -