Akses internet luar bandar dinaik taraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejumlah 77 menara baharu akan dibina untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Kelantan.

Dijadualkan 23 buah menara baharu akan dibina pada tahun ini.

Selain itu, sebanyak 836 alat pemancar komunikasi sedia ada akan turut dinaik taraf kepada teknologi 4G.

- Advertisement -

Sehingga itu sebanyak 557 alat pemancar dijadual dinaik taraf untuk tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah berkata, bagi jalur lebar talian tetap, 73,251 premis akan disediakan akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabit.

Ia dibuat melalui rangkaian gentian optik melibatkan 5,001 premis akan dilaksanakan pada tahun ini.

Saifuddin [Bersatu-Indera Mahkota] menjawab pertanyaan Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh [PAS-Pasir Puteh] meminta menyatakan langkah drastik kerajaan menaik taraf kemudahan infrastruktur telekomunikasi bagi mengatasi masalah capaian internet khususnya di luar bandar Kelantan dan kawasan tertentu di seluruh negara.

“Pada sidang media saya dan Pengerusi SKMM pada 24 November 2020 yang lalu, kami dengan terbuka menyatakan bahawa kami sangat memahami dan bersimpati dengan cabaran yang dihadapi bukan sahaja oleh adik Veveonah Mosibin tetapi yang lain-lain juga yang ada masanya tular dan kita anggap itu sebagai maklum balas dan kami tidak defensive dan kami bersedia untuk menyelesaikan, memperbaiki dan sebagainya.

“Di samping sekarang ini, kita sedang menaik taraf dan memperbaiki kandungan 1,101 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

“Yang drastiknya Yang Berhormat, sebab ada perkataan ‘drastik’ dalam soalan itu, mungkin bukan pada tindakan serta-merta tetapi pada tindakan dasar.

“Iaitu menjadikan kesalinghubungan internet sebagai utiliti awam selepas air dan elektrik kerana itu akan mempengaruhi kecepatan kelulusan membina,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi.

Katanya ini adalah bagi membolehkan rakyat menikmati akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih menyeluruh. – HARAKAHDAILY 25/11/2020

- Advertisement -