Wujud 30 stesen pemantau pencemaran alam sekitar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga puluh stesen pemantauan yang akan diwujudkan di bawah peruntukan RM40 juta Belanjawan 2021 tidak hanya terhad kepada pengesanan pencemaran air tetapi juga berupaya mengesan pelbagai jenis pencemaran berkaitan alam sekitar, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata pembinaan stesen itu diharap dapat mengatasi segala kelemahan sebelum ini.

“Selain stesen pemantauan, kementerian bercadang memasang sistem pemantauan di kawasan lembangan sungai bagi memantau paras air untuk memberikan isyarat awal khususnya kejadian banjir,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Beliau bagaimanapun berkata hingga kini pihaknya masih dalam perbincangan dan belum memutuskan syarikat yang akan dipertanggungjawab.

Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM500 juta yang diperuntukkan bagi memelihara khazanah alam menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2021.
 
Mengenai masalah banjir kilat di ibu negara, Tuan Ibrahim berkata langkah pelebaran sungai tidak dapat dilakukan berikutan kesemua sungai telah mencapai kapasiti penuh disebabkan faktor pembangunan, sebaliknya langkah terbaik ialah membina kolam takungan banjir sebelum disalirkan secara terkawal.

“Oleh itu, kerjasama di antara pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat diperlukan bagi menangani masalah banjir kilat yang sering berlaku di ibu kota terutama apabila hujan lebat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata masyarakat semakin menitikberatkan  aspek pencemaran apabila terdapat peningkatan laporan mengenai pencemaran alam sekitar yang dibuat menerusi talian hotline JAS 1-800-88-2727.

Katanya pada tahun lepas, sebanyak 3,308 aduan diterima manakala bagi tahun ini setakat November terdapat 2,650 aduan.

“Cadangan supaya aduan berkaitan jenayah pencemaran alam sekitar untuk disalurkan ke talian 999 adalah baik. Sekiranya talian 999 dan hotline JAS diintegrasikan, ini membolehkan laporan kes diurus lebih cekap dan tindakan segera dapat digerakkan ke lokasi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -