Timbang proklamasi darurat Dun Bugaya, Parlimen Gerik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan pertimbangkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengisytiharkan Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya dan Parlimen Gerik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan, berkata ia berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

- Advertisement -

“Tindakan sama akan dipertimbang dan dilaksanakan bagi Dun Bugaya dan Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko KKM dan MKN ianya berlandaskan sebagaimana di Batu Sapi,” katanya pada waktu pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab Dato’ Seri Ahmad Maslan [BN- Pontian] yang mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang untuk menasihati YDPA bagi mengisytiharkan darurat di Dun Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi serta rasionalnya pelaksanaan ini.

Takiyuddin berkata, antara permasalahan yang kemungkinan akan berlaku di Batu Sapi adalah didapati pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetap MKN kemungkinan tidak dapat dipatuhi sepenuhnya.

Jelasnya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya, susulan insiden penularan Covid-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lalu.

“Bagi pelantikan petugas pilihan raya sehingga 6 November lalu, sepatutnya seramai 837 petugas pilihan raya, hanya 143 orang sahaja yang sanggup untuk bertugas.

“KKM juga memaklumkan kekangan untuk menyediakan kakitangan dan pegawai kesihatan bagi mengendalikan pengundi di Batu Sapi berjumlah lebih 32,000 orang,” ujarnya.

Atas dasar itu, katanya kerajaan berpendapat pengisytiharan darurat sangat tepat dan langkah yang diambil oleh YDPA sangat tepat dan tidak sekali-kali bercanggah dengan Perlembagaan. – HARAKAHDAILY 24/11/2020

- Advertisement -